SHAH ALAM - Sesi suai kenal atau minggu orientasi khusus kepada pelajar universiti masih relevan dilakukan bagi mahasiswa baharu untuk berkenalan antara satu sama lain.
Bagaimanapun, Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul berkata, program tersebut tidak perlu melibatkan aktiviti fizikal dan memalukan pelajar baharu.
"Orientasi sekarang masih relevan untuk pecahkan tembok antara senior dan pelajar baharu.
"Tetapi, jangan pergi ke fizikal atau mengejek seseorang itu. Tujuan program sesi suai kenal itu hanya untuk kenal-kenal,” katanya dalam Program Town Hall Ikon: Yang Di-Pertua Dewan Rakyat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Shah Alam, di sini pada Khamis.
Beliau turut merasmikan Majlis Peluncuran Aplikasi Siswa Madani dan Penyerahan Sumbangan Kit Madani kepada 10 pelajar asnaf.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Prihatin, Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar dan Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib.
Tambah Johari, pelajar yang melangkah ke universiti berkemungkinan belum terdedah dengan dunia pengajian tinggi, maka ia merupakan tanggungjawab pelajar lama untuk memperkenalkannya.
"Anak-anak ini mungkin tidak terdedah dengan alam pendidikan di universiti.
"Pengalaman untuk merasai minggu orientasi itu penting, tetapi tolong pentingkan maruah masing-masing,” ujarnya.