KALIMANTAN - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki dari Kalimantan Timur menimbulkan kekecohan di sebuah bank di sini selepas dia mendakwa dilarang mengeluarkan wang simpanan miliknya berjumlah 100 juta Rupiah (RM27,250).
Kejadian berlaku pada 26 September lalu di sebuah bank di Kecamatan Muara, Kabupaten Kutai Kartanegara.
Menerusi klip video yang tular, lelaki itu diminta oleh pengawal keselamatan untuk mengisi borang pengeluaran wang bagaimanapun dia mendakwa terlupa membawa dokumen yang diperlukan.
"Kerana tidak membawa dokumen, suspek AR diminta untuk pulang mengambilnya.
"Kemudian selepas dia datang semula ke bank sekitar jam 12.45 tengah hari (waktu tempatan) dia turut membawa sebilah parang berukuran 73 sentimeter," kata ketua polis Muara Jawa, Iptu Dedik Prasetyo kepada pemberita pada Sabtu lalu.
Tambahnya, merasakan 'tipu helahnya' hampir terbongkar kerana wang yang didakwa miliknya sebenarnya tiada, AR kemudiannya mengamuk di bank berkenaan.
"Suspek kemudiannya memecahkan pintu kaca bank dan mesin ATM serta dan beberapa peralatan bank yang lain," katanya.
Suspek akhirnya berjaya ditahan dan bakal dikenakan tindakan mengikut Pasal 335 Ayat (1) KUHPidana kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan dan Pasal 2 Ayat (1) UU Darurat No. 12 Tahun 1951 yang terkait dengan melakukan kerosakan menggunakan senjata tajam. - Agensi