Hafaz surah sejak usia 6 tahun

Iklan
Peserta Pertandingan Hafazan sempena Jualan Gudang Karangkraf 2024 bergambar kenangan bersama Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Karangkraf, Hashim Anang (tengah).

SHAH ALAM - Berbekalkan pengalaman menyertai lima pertandingan hafazan, Nur Zia Naufa Mohd Armizi, 7, berjaya menambat hati juri sekali gus bergelar juara Pertandingan Hafazan sempena Jualan Gudang Karangkraf 2024.

Murid Tahun 1 Maahad Tahfiz Al Aqsa Jalan Kebun itu menewaskan 12 murid sekolah lain dengan alunan bacaan hafazan yang baik.

Iklan
Iklan

Nur Zia Naufa berkata, dia hanya mengambil masa dua jam untuk menghafaz surah pilihan dalam pertandingan tersebut iaitu Surah Al-‘Alaq.

Nur Zia Naufa dinobatkan juara Pertandingan Hafazan sempena Jualan Gudang Karangkraf 2024 pada Khamis.

"Surah itu ada 19 ayat dan sangat mudah untuk menghafaznya. Alhamdulillah semasa pertandingan saya tak rasa gementar langsung.

Iklan

"Saya juga ulang lebih daripada 50 kali sehingga saya dapat ingat keseluruhan ayat,” katanya ketika ditemui di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Khamis.

Nur Zia Naufa berkata, dia bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran di Mesir dan menjadi seorang ustazah yang boleh menghafaz keseluruhan al-Quran dengan lancar, suatu hari nanti.

Iklan

Antara sekolah yang menyertai Pertandingan Hafazan sempena Jualan Gudang Karangkraf 2024 ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Alam Megah, SK USJ 20 dan Maahad Tahfiz Al Aqsa Jalan Kebun.

Mengulas kejayaan Nur Zia Naufa, ibunya, Nor Adilaini Razali, 35, berkata, anaknya itu sudah mula menghafaz juzuk al-Quran seawal usia enam tahun.

Nur Zia Naufa (kiri) bersama ibunya, Nor Adilaini Razali yang menemaninya menyertai Pertandingan Hafazan sempena Jualan Gudang Karangkraf 2024 pada Khamis.

"Sekarang ini dia sudah menghafaz empat juzuk, sedikit sahaja lagi untuk masuk juzuk 5.

"Alhamdulillah, walaupun pertandingan hari ini (Khamis) banyak peserta yang hebat, sebagai ibu saya sangat berbangga dengan pencapaian dan kemenangan Nur Zia Naufa,” katanya.

Tambahnya, Nur Zia Naufa meluangkan masa untuk menghafaz sekurang-kurangnya satu muka surat al-Quran setiap hari.

Nor Adilaini berkata, dia mengetahui mengenai pertandingan tersebut melalui media sosial Kumpulan Karangkraf.

Al-Quran turut dijual pada harga istimewa sempena Jualan Gudang Karangkraf 2024.

"Bila saya dapat tahu, terus saya daftarkan anak saya untuk sertai pertandingan ini. Niat saya adalah untuk membuatkan dia lebih berani bercakap di khalayak ramai atau berdepan dengan orang,” jelasnya.

Nor Adilaini juga memaklumkan, pencapaian yang bagus turut meletakkan Nur Zia Naufa sebagai murid cemerlang, terutamanya dalam hafazan di Maahad Tahfiz Al Aqsa Jalan Kebun.

Jualan Gudang Karangkraf 2024 berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada 27 September hingga 6 Oktober ini, bermula jam 9 pagi hingga 7 malam.

Jualan Gudang Karangkraf 2024 yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada 27 September hingga 6 Oktober ini menawarkan pelbagai promosi menarik.