Asia Barat sugul, tiada jalan penyelesaian secara diplomatik setakat ini - PM

Iklan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media sempena lawatan negara ke Pakistan hari ini. Turut kelihatan, Menteri Luar Datuk Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (kanan). - Foto: Bernama

ISLAMABAD - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengibaratkan keadaan di Asia Barat ketika ini sebagai"sugul” berikutan ketiadaan jalan penyelesaian secara diplomatik bagi mengakhiri konflik yang berlaku di beberapa bahagian dalam wilayah itu.

Beliau turut melontarkan persoalan negara di Asia Barat yang bakal diceroboh Israel selepas rejim itu menyerang ibu negara Lubnan iaitu Beirut dan sebelum ini, kawasan di selatan Lubnan serta Semenanjung Gaza.

Iklan
Iklan

"Setakat ini, tiada (jalan penyelesaian secara diplomatik terhadap konflik di Asia Barat). Setakat ini (keadaan di Asia Barat boleh) diibaratkan sebagai sugul kerana kita mendesak (agar) dihentikan serangan terhadap Semenanjung Gaza, (tetapi) diteruskan serangan terhadap Gaza malah diperluas kepada Lubnan.

"Mula (serangan) di selatan Lubnan, kini sudah ke Beirut. Selepas ini, apa lagi?” kata Perdana Menteri ketika ditanya sama ada terdapat jalan penyelesaian secara diplomatik terhadap krisis di wilayah itu yang semakin merebak kerana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga dilihat gagal mencari jalan untuk menghentikan serangan Israel.

Iklan

Anwar berkata, Malaysia, sebagaimana yang telah disuarakan secara tegas oleh beliau dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, mendesak agar serangan ganas Israel terhadap Semenanjung Gaza, Tebing Barat, selatan Lubnan dan Beirut dihentikan dengan segera.

Beliau berkata, usaha menamatkan konflik di Timur Tengah yang telah mengorbankan ribuan nyawa penduduk awam yang tidak berdosa itu juga memerlukan komitmen daripada negara-negara Arab, Islam dan PBB.

Iklan

Anwar berkata, semua pihak terbabit sudah menjalankan tanggungjawab masing-masing dan hasilnya mungkin kurang memuaskan namun mereka telah melaksanakan langkah yang tegas.

Perdana Menteri juga berkata, Israel tetap berdegil untuk meneruskan kekejaman di wilayah itu dan ini mungkin kerana mereka yakin masih boleh bergantung kepada dukungan Amerika Syarikat serta sekutunya.

Keadaan di Timur Tengah semakin meruncing apabila Iran melancarkan serangan 180 butir peluru berpandu ke arah Israel dua hari lepas, yang memungkinkan keseluruhan wilayah itu terjerumus ke kancah peperangan. - Bernama