BEIRUT - Lubnan pada Khamis mengemukakan aduan rasmi kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Setiausaha Agung, António Guterres mengenai pencerobohan Israel ke dalam wilayahnya serta pelanggaran Blue Line yang memisahkan kedua-dua negara itu.
Kenyataan misi tetap Lubnan ke PBB, menyatakan aduan terbabit mengecam pencerobohan terhadap kedaulatan Lubnan dan kemasukan pasukan Israel ke dalam sempadan Lubnan sejak malam 1 Oktober, lapor Agensi Anadolu.
Israel melancarkan operasi darat di selatan Lubnan, dengan pegawai menyatakan ia bertujuan untuk mewujudkan zon penampan keselamatan yang akan berlangsung selama beberapa minggu, menurut laporan itu.
Tentera Israel kemudian mengumumkan kematian seorang tentera mereka semasa pencerobohan darat itu.
Pada Khamis, Hizbullah berkata, pihaknya berjaya menghalang enam percubaan pencerobohan Israel di selatan Lubnan.
Misi Lubnan menyatakan Israel melanggar Blue Line 2000 dan memperkecilkan Resolusi Majlis Keselamatan 1701 yang diterima pakai pada Ogos 2006.
Resolusi itu menuntut permusuhan antara Lubnan dan Israel dihentikan sepenuhnya serta pembentukan zon antara Blue Line dan Sungai Litani, bebas daripada kumpulan bersenjata kecuali Angkatan Tentera Lubnan dan UNIFIL.
Aduan itu menyebut bahawa Israel mengumpulkan pasukan tentera, kereta kebal dan kenderaan berperisai di sepanjang sempadan selatan Lubnan, menyasarkan orang awam, pekerja bantuan dan wartawan serta melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas bandar dan kampung dengan lebih 8,570 serangan.
Israel melancarkan serangan udara besar-besaran sejak 23 September ke atas apa yang dikatakannya sebagai sasaran Hizbullah di seluruh Lubnan, yang meragut lebih 1,100 nyawa setakat ini, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.
Masyarakat antarabangsa memberi amaran bahawa serangan Israel di Lubnan boleh mencetuskan konflik Gaza kepada perang serantau yang lebih luas. - Bernama