McDonald’s Malaysia terus bersama komuniti

Iklan
McDonald’s Malaysia meraikan majlis sambutan hari jadi kanak-kanak di Rumah Titian Kaseh, di sini baru- baru ini.

KUALA LUMPUR - McDonald’s Malaysia meneruskan usaha kemasyarakatannya bersama komuniti menerusi Program Bulan Komuniti McDonald’s yang memberikan manfaat dan keceriaan kepada penghuni rumah kebajikan sejak ia diperkenalkan pada 2017 di negara ini.

McDonald’s meneruskan inisiatif itu dengan misi menceriakan kanak-kanak yang memerlukan melibatkan rumah kebajikan terpilih di seluruh negara sepanjang Oktober ini.

Iklan
Iklan

Rumah kebajikan yang menerima bantuan berkenaan di sekitar ibu negara antaranya Rumah Titian Kaseh, Rumah Raudhatul Al Faeez dan Pusat Jagaan Kasih Murni.

Pengarah Urusannya, Datuk Azmir Jaafar berkata, semua program kemasyarakatan McDonald’s digerakkan di bawah Program Komuniti @ McDonald’s & RMHC.

Iklan

Menurutnya, setiap tahun McDonald’s Malaysia akan melaksanakan hampir 19,000 program kemasyarakatan yang dianjurkan oleh restorannya di seluruh Malaysia.

"Antara program yang diadakan ialah sumbangan moreh ke masjid dan surau sepanjang bulan Ramadan dan sumbangan lembu korban pada Hari Raya Aidiladha.

Iklan

"Kami juga memberikan sumbangan makanan kepada petugas barisan hadapan, sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Bapa di rumah kebajikan warga emas,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meraikan Majlis Hari Jadi dan Penyampaian Sumbangan di Rumah Titian Kaseh, di sini baru-baru ini.

"Kami berharap sumbangan yang dihulurkan akan memberikan impak positif kepada komuniti. Ia merupakan teras utama kepada McDonald’s Malaysia,” tambahnya.

Azmir (dua dari kanan) bersama wakil tiga buah rumah kebajikan yang menerima sumbangan menerusi Bulan Komuniti tahun ini.

Jelasnya, di Malaysia, McDonald’s merupakan sebuah restoran yang bertapak selama 42 tahun dan memahami kehidupan masyarakat di negara ini.

"Kami bukan sahaja berusaha untuk menyediakan hidangan lazat kegemaran ramai tetapi berazam menjadi jiran yang prihatin dengan melaksanakan inisiatif berimpak positif kepada komuniti di sekitar lokasi operasi kami.

"Pada bulan Oktober setiap tahun, kami melaksanakan program Bulan Komuniti McDonald’s yang dikhususkan untuk kanak-kanak,” katanya.

Raikan kanak-kanak

Azmir berkata, McDonald’s Malaysia akan membawa keceriaan dengan melaksanakan sambutan hari jadi untuk kanak-kanak dari 400 rumah kebajikan di Malaysia pada setiap tahun.

"Kami sedar bahawa setiap kanak-kanak mengimpikan untuk menyambut dan meraikan hari jadi mereka sama ada secara kecil-kecilan atau besar-besaran,” katanya.

Tambahya, peranan McDonald’s adalah menganjurkan majlis hari jadi dan berharap kanak-kanak dapat merakam memori yang manis untuk dikenang bersama rakan-rakan dan penjaga rumah tersebut.

"Kami gembira melihat sambutan hari jadi mendapat respons yang sangat baik daripada pengurus dan kanak-kanak rumah kebajikan sebelum ini.

Permainan yang menarik turut diadakan untuk menceriakan kanak-kanak yang diraikan.

"Mereka seronok apabila rumah mereka dihias cantik dan disusun atur dengan meriah. Kanak-kanak berpakaian cantik dan bersemangat sepanjang majlis berlangsung,” kata Azmir.

Katanya, kegembiraan mereka itulah yang menjadi motivasi kepada McDonald’s Malaysia untuk terus melaksanakan program sebegini pada masa akan datang.

Ringankan beban

Sementara itu, Pengurus Rumah Titian Kaseh, Titiwangsa, Muhammad Akmal Yosuf terharu kerana mendapat perhatian McDonald’s Malaysia.

"Ini bukan kali pertama kami menerima sumbangan daripada McDonald’s. Sebelum ini, kami menerima barangan kebersihan diri, buku dan keperluan harian,” katanya.

Menurutnya, seramai 50 penghuni yang tinggal di rumah pelindungan berkenaan terdiri daripada bayi, kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan ibu tunggal.

Bagi penjaga Pusat Jagaan Kasih Murni, AU2 Taman Keramat, Nadia Afifah Zahari berbesar hati dan berterima kasih kepada McDonald’s kerana menganjurkan majlis untuk meraikan kanak-kanak di rumah berkenaan.

"Bantuan yang diberikan amat membantu terutama dalam menyelesaikan bayaran sewa rumah, bil elektrik dan air. Pusat Jagaan Kasih Murni dihuni oleh kanak-kanak berusia tiga hingga 12 tahun,” katanya.

Menurut Pengurus Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Asnaf Raudhatul Al Faeez, Gombak, Elza Izyan Erieza Zahalan, inisiatif McDonald's Malaysia bukan sahaja memberikan sumbangan, malah meraikan penghuni rumah itu sangat dihargai.

Beliau berkata, sumbangan yang diterima akan membantu dan meringankan beban pihak pengurusan rumah berkenaan.

"Ini kali pertama kami menyertai program bersama HM dan McDonald's Malaysia. Semua anak rumah ini teruja dan gembira kerana banyak aktiviti permainan santai disediakan.

"Rumah kebajikan kami mempunyai 23 penghuni berusia antara empat hingga 23 tahun. Kami mempunyai 18 orang yang tinggal di rumah dan selebihnya merupakan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang akan pulang ke rumah apabila cuti," katanya.