Penjenamaan semula PETRA: Membangun bersama negara

Iklan
FADILLAH

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah melaksanakan penjenamaan semula bertujuan untuk meneruskan aspirasi kerajaan dan memperkukuhkan sistem penyampaian kepada rakyat terutamanya dalam bidang perkhidmatan air dan elektrik negara.

Diterajui oleh Datuk Seri Fadillah Yusof, PETRA bertekad untuk sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam aspek bekalan air dan elektrik bagi menjamin keselesaan rakyat dan penduduk di negara ini.

Iklan
Iklan

PETRA yang sebelum ini dikenali sebagai Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam (KPTDGA) memikul tanggungjawab yang besar dalam aspek pengurusan dan kawal selia sektor air dan elektrik negara.

Penjenamaan yang dilaksanakan pada Februari lalu dilihat sebagai langkah strategik untuk memberikan gambaran yang lebih tepat mengenai tekad dan hasrat Kerajaan yang diterajui PETRA untuk meningkatkan kualiti serta memperkukuhkan pengurusan, kawal selia serta penyampaian perkhidmatan dalam bidang bekalan air dan elektrik di negara ini.

Iklan

Usaha penjenamaan ini turut memberikan mesej yang jelas mengenai tekad serta azam PETRA untuk seiring dengan perkembangan pembangunan semasa global yang kini memberikan tumpuan terhadap usaha untuk mengurangkan jejak karbon melalui peralihan tenaga dan pemeliharaan sumber air melalui transformasi pengurusan air.

Oleh itu, usaha penjenamaan ini diharap akan mendedahkan masyarakat kepada perkara berkaitan sektor bekalan elektrik seperti tenaga boleh baharu dan kecekapan tenaga yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian mereka, serta menggalakkan penyertaan masyarakat dalam pelbagai inisiatif, termasuk program penjimatan tenaga dan kitar semula air.

Iklan

Dalam usaha menarik minat syarikat dalam sektor tenaga boleh baharu pula, penjenamaan ini dijangka memacu inovasi dan pelaburan dalam teknologi baharu, sekali gus memberikan manfaat kepada masyarakat seperti penggunaan sistem solar fotovoltaik (PV) dan teknologi pengurusan air yang lebih baik.

Dari segi kualiti hidup, usaha ini diharap dapat meningkatkan akses kepada air bersih dan memupuk amalan penggunaan tenaga yang bijak dan berhemah dalam kalangan isi rumah di negara ini melalui penerapan kecekapan tenaga.

Langkah ini akan mengurangkan keperluan penjanaan tenaga elektrik daripada bahan api fosil dan mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar.

Sementara itu, pengurusan air yang lebih berkesan akan meningkatkan akses kepada air bersih, mengurangkan risiko banjir, serta menjamin kualiti air yang lebih terpelihara dan selamat untuk kegunaan semua.

Selain itu, penjenamaan semula boleh membantu dalam mendapatkan sokongan untuk dasar-dasar baharu dan inisiatif kementerian.

Dengan identiti yang jelas dan mesej konsisten, akan lebih mudah untuk mendapatkan sokongan awam untuk pelaksanaan dasar yang menyokong kemampanan tenaga dan air.

Penjenamaan semula boleh memperkukuhkan kerjasama antara kementerian dan institusi lain, baik di peringkat nasional mahupun antarabangsa melalui identiti yang lebih jelas.

Secara keseluruhannya, penjenamaan semula PETRA memberi impak positif yang luas kepada masyarakat dari peningkatan kesedaran dan penyertaan hingga memperbaiki kualiti hidup dan sokongan terhadap dasar-dasar berkaitan dengan kemampanan sumber tenaga dan air.

Sektor tenaga dan air

Penjenamaan kementerian itu juga mencerminkan komitmen Malaysia dalam menguruskan dan mentransformasikan sektor tenaga dan air dengan pendekatan yang holistik dan mampan.

Melalui sektor tenaga, PETRA berperanan dalam menyokong usaha Malaysia ke arah mencapai karbon sifar bersih menjelang 2050 dengan fokus pada daya harap, mampu bayar dan kemampanan sistem bekalan elektrik.

Inisiatif utama dalam sektor tenaga termasuk pelbagai program yang menggalakkan penggunaan tenaga solar sebagai sumber tenaga boleh baharu utama, termasuk Program Net Energy Metering (NEM) dan Skim Insentif Solar untuk Rakyat (SolaRIS).

Menurut PETRA, di bawah sektor air pula, PETRA bertanggungjawab untuk pengurusan sumber air dan perkhidmatan bekalan air serta pembetungan yang mampan.

Inisiatif di bawah sektor air termasuk Program Tebatan Banjir diwujudkan untuk mengurangkan kesan banjir melalui pelbagai langkah pencegahan.

Selain itu, inisiatif Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara iaitu sistem untuk meramalkan dan memberi amaran awal tentang banjir dan Program Denai Sungai Kebangsaan iaitu usaha untuk memulihkan dan mengekalkan sungai-sungai utama di Malaysia.

Sementara itu, inisiatif lain ialah Program Pemuliharaan dan Pembersihan Sungai iaitu langkah untuk membersihkan dan memulihkan kualiti sungai serta Program Air Tidak Berhasil (Non-Revenue Water (NRW)) Kebangsaan bagi mengurangkan kerugian air tidak dikira.

Terdapat beberapa lagi inisiatif lain di bawah sektor air seperti Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS), Penghasilan Air Pulih Guna, Pelarasan Tarif Air Yang Komprehensif dan Rebat caj pembetungan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).

Empat elemen

Menurut PETRA, terdapat empat elemen merangkumi portfolio PETRA iaitu Daunan Hijau, Grid Air, Grid Kuasa dan Aliran Air.

Menerusi Daunan Hijau, ia melambangkan usaha PETRA dalam menghasilkan bekalan elektrik hijau dan mengurangkan jejak karbon.

Melalui Grid Air ia menerangkan peranan PETRA dalam perkhidmatan bekalan air dan pembetungan.

Sementara itu, melalui Grid Kuasa pula ia menunjukkan peranan PETRA dalam menyediakan bekalan tenaga kepada rakyat, manakala, bagi Aliran Air ia menggambarkan pengurusan sumber air yang berkesan.

Seiring dengan peranan kementerian ini dalam sektor air dan tenaga, terdapat empat tonggak utama PETRA iaitu Keterjaminan, Keselamatan, Kemampanan dan Kesejahteraan.

Melalui Keterjaminan, PETRA bertanggungjawab menjamin bekalan tenaga dan air yang berterusan dan konsisten, diikuti Keselamatan iaitu memastikan kualiti air bersih dan penggunaan tenaga yang cekap serta selamat.

Tonggak berkaitan dengan Kemampanan memperlihatkan usaha PETRA dalam memperkasa pengurusan dan kawal selia bagi bekalan tenaga dan air yang mampan serta inklusif.

Menerusi Kesejahteraan, PETRA berperanan meningkatkan kesejahteraan rakyat dengan akses kepada bekalan tenaga yang berdaya harap dan bekalan air bersih.

10 JABATAN/AGENSI DI BAWAH PETRA

- Suruhanjaya Tenaga (ST): Pengawalan dan pelaksanaan dasar tenaga.

- Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN): Pengawalan perkhidmatan bekalan air.

- Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK): Pengurusan perkhidmatan pembetungan.

- Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS): Pengurusan lembangan sungai dan sistem saliran.

- Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP): Pengurusan perkhidmatan pembetungan.

- Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM): Penyelidikan dan pembangunan dalam bidang air.

- Jabatan Bekalan Air (JBA): Pengurusan bekalan air.

- Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia: Memajukan tenaga lestari.

- Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB): Pengurusan aset air negara.

- Malaysia Programme Office for Power Electricity Reform Corporation (MyPower): Reformasi dalam bekalan tenaga.