Eksploitasi kanak-kanak beri kesan negatif jangka panjang

Iklan
SEPATUTNYA kita sebagai orang dewasa yang memberi perlindungan dan bimbingan kepada kanak-kanak serta remaja bawah umur, bukannya mempergunakan mereka sebagai ‘bahan eksploitasi’. -Foto: Canva

Lindungi dan bimbing mereka, ia jadi tuntutan utama dalam Islam

SEJAK kebelakangan ini, banyak kisah berkisarkan kanak-kanak dan remaja bawah umur menjadi sorotan lantaran pelbagai kes yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan mereka.

Tidak dapat dibayangkan pada usia masih mentah, ada yang sudah didedahkan dengan perbuatan keji seperti liwat.

Iklan
Iklan

Selain itu, terdapat juga kandungan video membabitkan anak bawah umur yang dimuat naik di media sosial mengarah kepada unsur-unsur pemangsa serta pengantun seksual dan sebagainya.

Meskipun pencipta kandungan itu menjadikannya sekadar bahan lakonan mahupun gurauan, namun perkara itu tidak wajar dilakukan walaupun kanak-kanak tersebut ialah mahram mereka.

Iklan

Sepatutnya kita sebagai orang dewasa yang memberi perlindungan dan bimbingan kepada kanak-kanak serta remaja bawah umur, bukannya mempergunakan mereka sebagai ‘bahan eksploitasi’.

Wajarkah mereka dijadikan kandungan di media sosial? Sejauh manakah batasan antara orang dewasa dan kanak-kanak yang dianggap sebagai perlakuan tidak normal walaupun sesama mahram?

Iklan

Tak wajar jadi ‘bahan kandungan’

Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Abdul Rashid Abdul Aziz menjelaskan, secara amnya, kanak- kanak didefinisikan sebagai individu di bawah usia 18 tahun seperti ditetapkan dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak dan Akta Kanak-Kanak (2001).

DR ABDUL RASHID

Justeru katanya, mereka merupakan golongan lemah yang perlu dilindungi dan dijaga dari segi hak kebajikan masing-masing serta dicegah daripada disalah guna bagi tujuan memudaratkan.

Apatah lagi mereka merupakan pewaris negara yang akan memacu pembangunan pada masa hadapan.

"Kemungkaran perlu dibanteras dengan mencegah perlakuan amang seksual terhadap golongan lemah ini,” katanya.

Ketahuilah bahawa melindungi kanak-kanak merupakan satu tuntutan yang utama dalam Islam kerana mereka dianggap sebagai amanah dan anugerah daripada ALLAH SWT, ungkapnya.

Abdul Rashid yang juga pakar dalam bidang kaunseling Islam dan psikospiritual menjelaskan, kelompok itu mempunyai kedudukan istimewa sebagai makhluk yang bersih daripada dosa.

"Islam menekankan tanggungjawab ibu bapa untuk memberikan pendidikan yang baik dan sempurna kepada anak-anak, membimbing mereka mematuhi ajaran agama serta melindungi mereka daripada kemudaratan rohani dan fizikal,” katanya.

KETAHUILAH bahawa melindungi kanak-kanak merupakan satu tuntutan yang utama dalam Islam dan tidak menyakiti si kecil kerana mereka dianggap sebagai amanah dan anugerah daripada ALLAH SWT. -Foto: 123rf

Seperkara lagi, ujar Abdul Rashid, kanak-kanak mahupun remaja di bawah umur tidak wajar dijadikan bahan kandungan dalam media sosial.

"Dalam kes terbaharu misalnya membabitkan seorang pemandu bas sekolah menjadikan kanak-kanak sebagai kandungan media sosial mula membuka mata banyak pihak tentang keselamatan dan privasi anak-anak pada era digital.

"Perbuatan seumpama itu tanpa disedari sebenarnya satu langkah ke arah pengantun seksual iaitu usaha memanipulasi kanak-kanak secara perlahan bagi tujuan tidak baik,” ujarnya.

Jaga batasan

Ahli akademik itu kemudian mengemukakan dapatan Kementerian Kesihatan Malaysia. Satu tinjauan pada 2023 mendedahkan, remaja berusia 16 hingga 19 tahun merupakan kumpulan paling tinggi menghadapi masalah kemurungan iaitu 7.9 peratus.

Pakar psikologi berpendapat ia disebabkan tekanan daripada penggu-naan media sosial.

Itu baru satu tinjauan dan sebenarnya terdapat banyak lagi kajian sama membabitkan isu kesihatan mental serta kesalahan seksual membabitkan kanak-kanak dan remaja bawah umur.

Justeru katanya, jelas bahawa menyiarkan imej atau video kanak-kanak di media sosial boleh membuka ruang kepada ancaman keselamatan seperti gangguan daripada pihak berniat jahat.

KANAK-KANAK merupakan golongan lemah yang perlu dilindungi dan dijaga dari segi hak kebajikan masing-masing serta dicegah daripada disalah guna bagi tujuan memudaratkan. -Foto: Canva

Mengulas tentang batasan orang dewasa dan kanak-kanak walaupun sesama mahram, Abdul Rashid menjelaskan, batasan pergaulan serta aurat tetap perlu dijaga agar tidak melampui batas hingga menjadi perlakuan dosa besar di sisi agama.

Tegasnya, pemakaian yang mendedah-kan aurat perlu dicegah untuk mengelak-kan sumbang mahram, di samping menjaga adab dan batasan pergaulan sesama mahram agar tidak melangkaui had yang menjerumus kemungkaran.

"Dalam ayat ke-26 surah al-A’raf, ALLAH menjelaskan tentang aspek takwa yang penting dalam mencegah perlakuan tidak normal walau sesama mahram,” katanya.

Sebelum mengakhir bicara, beliau menitipkan pesanan agar menjadi teladan yang baik dengan mempamerkan sikap hormat dan empati terhadap kanak-kanak.

"Sebagai orang dewasa yang lebih arif berkaitan dunia teknologi kini, kita perlu proaktif melindungi kanak-kanak daripada pelbagai ancaman seperti buli siber, kandungan laman sesawang tidak sesuai atau eksploitasi secara dalam talian.

"Ingatlah, menjaga kanak-kanak merupakan tanggungjawab besar dalam Islam. Orang dewasa perlulah menjadi pelindung, pendidik dan pembimbing yang baik sambil menghindari sebarang bentuk eksploitasi disebabkan kelemahan golongan ini,” titipnya.

MELETAKKAN imej atau video kanak-kanak di ruang terbuka seperti media sosial boleh mendedahkan mereka kepada risiko seperti penculikan identiti, peras ugut atau lebih buruk lagi menjadi sasaran pemangsa dalam talian terutamanya golongan pemangsa pedofilia. -Foto: Canva

ANEKDOT

Panduan tentang batasan sentuhan terhadap kanak-kanak dalam Islam

1. Kanak-kanak kecil (di bawah tujuh tahun - sebelum mumaiyiz)

Sentuhan secara umumnya lebih longgar dan hendaklah bersifat kasih sayang dan penjagaan seperti memeluk, mendukung atau mencium di bahagian pipi, kepala atau dahi.

2. Kanak-kanak yang sudah mula memahami (mumaiyiz - umur tujuh tahun dan ke atas)

Mereka mula membezakan sentuhan yang wajar dan tidak sesuai.

Aurat kanak-kanak perempuan: Aurat mereka mula dilihat lebih jelas dan sepatutnya dijaga dengan lebih ketat. Orang bukan mahram (seperti guru lelaki atau lelaki dewasa yang bukan keluarga) harus mengelakkan daripada menyentuh mereka.

Aurat kanak-kanak lelaki: Aurat mereka mula ditekankan apabila mendekati usia baligh dan orang dewasa harus menjaga batasan sentuhan terutama jika bukan ahli keluarga atau mahram.

3. Sentuhan oleh mahram

Mahram kanak-kanak (iaitu orang yang haram dinikahi seperti ibu bapa, datuk nenek, adik-beradik atau bapa saudara) boleh menunjukkan kasih sayang dengan sentuhan wajar seperti memeluk, mendukung atau mencium di tempat yang sesuai antaranya pipi, kepala atau dahi. Jika mencapai usia baligh, sentuhan antara mahram juga perlu lebih terjaga dari sudut kesopanan.

4. Sentuhan oleh bukan mahram

Sentuhan terhadap kanak-kanak yang mencapai usia mumaiyiz dan baligh harus dielakkan kecuali dalam situasi yang perlu seperti merawat kecederaan atau menjaga keselamatan. Dalam semua keadaan, adab dan kesopanan perlu dijaga.