TOTTENHAM Hotspur meraih kemenangan kedua berturut-turut Liga Europa selepas mengatasi kelab Hungary, Ferencvaros, 2-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Groupama Arena, Budapest pada Jumaat.
Tiga mata skuad bimbingan Ange Postecoglou dijanakan Pape Sarr (m-23) dan Brennan Johnson (minit ke-86) pada setiap babak menundukkan anak buah Pascal Jansen.
Kelab berpangkalan di London itu sebelum ini mengalah kelab Azerbaijan, Qarabag FC, 3-0 menerusi gol dijelmakan Brennan Johnson (m-12), Pape Matar Sarr (m-52) dan Dominic Solanke (m-68) selepas kehilangan Radu Dragusin seawal minit ke-7 di Stadium Tottenham Hotspur, 27 September lalu.
Ferencvaros berpeluang mendahului menerusi tandukan Barnabas Varga, namun dibatalkan akibat offsaid.
Sementara itu, Anderlecht menang 2-1 ke atas Real Sociedad di Reale Arena, yang mendahului awal menerusi Pablo Marin (m-5) sebelum Luis Vazquez (m-28) dan Theo Leoni (m-38) menjaringkan gol untuk kelab Belgium itu seterusnya mengubah permainan.
Di Rom, Taty Castellanos, yang meraikan ulang tahunnya yang ke-26, menjaringkan dua gol untuk membawa Lazio menang 4-1 ke atas kelab Perancis, Nice di Stadio Olimpico
Pedro Rodriguez dan penalti daripada Mattia Zaccagni kemudiannya melengkapkan kekalahan pasukan pelawat.
Gergasi Belanda, Ajax Amsterdam pula terikat 1-1 dengan Slavia Prague di Eden Arena, dengan Branco van den Boomen menjaringkan penalti awal untuk pasukan pelawat sebelum Tomas Chory menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua untuk tuan rumah.
Ajax terpaksa beraksi 10 pemain selepas Youri Baas dibuang padang pada minit ke-75.