[VIDEO] Penjaga rumah amal GISBH didakwa aniaya rotan budak

Iklan

SELAYANG - Seorang penjaga rumah amal GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan menganiaya dengan merotan kanak-kanak lelaki berusia enam tahun pada Februari hingga bulan lalu.

Mohd Syahid Hanapiah, 35, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Lailatul Zuraida Harron @ Harun.

Iklan
Iklan
Mohd Syahid dibawa ke Mahkamah Sesyen Selayang pada Jumaat, bagi menghadapi satu pertuduhan menganiaya seorang kanak-kanak berusia enam tahun, pada Februari hingga bulan lalu.

"Faham pertuduhan, tidak mengaku," kata lelaki yang memakai baju T berwarna biru itu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak itu, telah menganiaya dengan cara merotan mangsa yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan.

Iklan

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Desa, Bandar Country Homes, antara Februari hingga September lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Iklan

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal berkata, pihak pendakwaan tidak mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin.

Bagaimanapun beliau berkata, sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan, kadar itu ditetapkan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

"Ia termasuk syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan, dilarang mengganggu mangsa dan saksi kes, serta boleh dihubungi pihak berkuasa pada bila-bila masa," katanya.

Sementara itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu jumlah itu dikurangkan kerana dia mempunyai banyak masalah.

"Minta kurangkan sebab saya ada masalah kewangan, kerja dan keluarga," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Lailatul Zuraida membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi tiga syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 5 November depan untuk sebutan kes dan lantikan peguam.

Polis melancarkan Op Global awal bulan lepas dan menyerbu rumah amal seluruh Semenanjung yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Hasil serbuan, seramai 572 mangsa berjaya diselamatkan selain membawa kepada penahanan 359 pengikut GISBH termasuk pengurusan tertinggi syarikat tersebut.