'Nisan kerek' ramuan asli tanpa campuran gula dapat permintaan tinggi

Iklan
Zukafali menunjukkan 'nisan kerek' yang siap dihasilkan dan sedia dijual kepada pelanggan.

SETIU - Seorang nelayan meneruskan kaedah pembuatan 'nisan kerek' yang diperbuat daripada air nira kelapa mengikut ramuan asli generasi terdahulu.

Zukafali Ibrahim, 49 berkata, 'nisan kerek' yang dihasilkan hanya menggunakan rasa manis semula jadi daripada air nira kelapa dan tiada sebarang campuran gula atau kopi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, resipi pembuatan makanan tradisional itu dipelajari daripada golongan terdahulu ketika dia masih di usia remaja.

"Saya dah lama belajar kaedah pembuatan 'nisan kerek' ini dan baru mula cuba membuat sendiri untuk dijual sejak akhir Ogos lalu kerana terdapat lebihan air nira yang dipotong daripada mayang kelapa setiap hari.

Iklan

"Orang dulu-dulu tak guna sebarang campuran asing seperti kopi ataupun gula untuk menjadikan warnanya kelihatan cantik dan manis kerana 'nisan' dihasilkan adalah benar-benar asli," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Saujana dekat sini, baru-baru ini.

Zukafali memproses 'nisan kerek' di rumahnya di Kampung Saujana, Setiu.

Menurut Zukafali, dia tidak menyangka 'nisan kerek' yang dihasilkan mendapat permintaan memberangsangkan daripada pelanggan di seluruh negara walaupun baru memulakan perniagaan itu.

Iklan

Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, sebelum ini dia menjual nira kelapa sebagai pendapatan sampingan selain turun ke laut.

"Sambutan terhadap air nira buat masa ini agak berkurangan sedangkan ia diambil setiap hari. Jadi saya ambil inisiatif lain dengan membuat nisan kerek bagi mengelak ia terbuang begitu sahaja.

"Saya tak sangka percubaan saya membuahkan hasil. Jualan secara dalam talian juga mendapat permintaan tinggi lebih-lebih lagi apabila ramai yang tahu pembuatannya 100 peratus daripada air nira kelapa.

"Setakat ini saya mampu meraih pendapatan sekitar RM2,000 dalam tempoh tiga minggu," ujarnya.

Secara purata Zulafali mampu menghasilkan kira-kira 100 keping 'nisan kerek' daripada 30 hingga 35 liter air nira kelapa.

Zukafali berkata, dia memperoleh kira-kira 30 hingga 35 liter nira kelapa setiap hari.

Selain menerima permintaan dari luar, Zukafali turut menerima tempahan daripada penduduk kampung selain terdapat dalam kalangan mereka yang berkunjung ke rumahnya untuk melihat secara lebih dekat proses yang dilakukan.

"Air nira ini akan dimasak selama dua hingga tiga jam menggunakan dapur kayu api untuk menghasilkan 'nisan kerek' yang secara puratanya sebanyak 100 keping setiap hari.

"Ada hari-hari tertentu saya akan memproses air nira dua hari sekali mengikut isi padu nira yang diperoleh serta permintaan yang diterima," katanya.