Bapa anak lima didakwa tipu tawaran kerja juruterbang

Iklan
Mohamad Faizul (tengah) mengaku tidak bersalah atas tuduhan menipu tawaran pekerjaan tidak wujud di Mahkamah Majistret Ipoh pada Jumaat.

IPOH - Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh pada Jumaat atas tuduhan menipu tawaran pekerjaan sebagai juruterbang.

Tertuduh, Mohamad Faizul Baharudin, 44, didakwa dengan curang menipu Latipah Ahmad Sudan, 64, dengan mendorong mangsa menyerah wang tunai bernilai RM24,000 untuk mendapat pekerjaan sebagai juruterbang yang tidak wujud.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, kesalahan itu dilakukan di hadapan mesin transaksi automatik (ATM) sebuah bank di Gunung Rapat, di sini antara jam 12 tengah hari hingga 1 tengah hari, 22 Disember 2016 hingga 8 April 2018.

Perbuatan tersebut merupakan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Iklan

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Siti Nora Shariff.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nuranisah Ismah Muhammad Husaini menawarkan tertuduh diikat jamin RM10,000.

Iklan

Namun Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Robert S Gnanarajan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberikan jaminan rendah kerana anak guamnya perlu menanggung seorang isteri dan lima anak, selain tiada halangan sekiranya dikenakan syarat tambahan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 27 November depan.

Media sebelum ini melaporkan lelaki tersebut pernah menyamar sebagai timbalan pendakwa raya, juruterbang, jurutera minyak dan gas serta pelbagai profesion lain.

Bagaimanapun dia akhirnya berjaya diberkas polis selepas enam tahun.