Selesaikan saman tertunggak, kes senarai hitam dulu...

Iklan
Aedy (berdiri, dua dari kiri) memberi penjelasan kepada pemandu berhubung kesalahan dilakukan semasa Operasi Khas Kenderaan Perdagangan di Jalan Bangi Lama-Semenyih, Selangor pada Jumaat. FOTO SINAR HARIAN- HISYAMUDDIN AYUB.

BANGI - Pemilik lesen Kelas B1 dan B2 dinasihatkan menyelesaikan semua saman tertunggak dan senarai hitam bagi membolehkan layak menyertai Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM).

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, saman dan senarai hitam itu melibatkan dua agensi penguat kuasa iaitu JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Iklan
Iklan

Beliau berkata, setelah selesai pembayaran saman, pemegang lesen boleh menyemak semula permohonan dengan mendaftar masuk menggunakan MyDigital ID ke aplikasi MyJPJ.

"Saman melibatkan JPJ dan PDRM yang ada perlu diselesaikan terlebih dahulu iaitu saman tertunggak dan senarai hitam.

Iklan

"Selepas itu, barulah sistem itu akan tukarkan kepada status layak," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.

Aedy (tengah) memberi penjelasan kepada pemandu berhubung kesalahan dilakukan semasa Operasi Khas Kenderaan Perdagangan di Jalan Bangi Lama - Semenyih, Selangor pada Jumaat. FOTO SINAR HARIAN- HISYAMUDDIN AYUB.

Beliau berkata demikian ketika meninjau Operasi Khas Kenderaan Perdagangan yang dilaksanakan di seluruh negara bermula 1 Oktober hingga 31 Oktober ini.

Iklan

Hadir sama Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan.

Mengulas lanjut mengenai LMM, Aedy berkata, selaras dengan pengumuman Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada Khamis supaya kelonggaran syarat dapat diberikan, JPJ telah melaksanakan tindakan pembaharuan.

Katanya, JPJ telah melonggarkan syarat iaitu tiada lagi syarat minimum 10 tahun berterusan yang ditetapkan sebelum ini.

Jelas beliau, syarat tersebut sudah dimansuhkan serta-merta.

"Orang ramai yang mempunyai lesen Kelas B1 dan B2 selama 10 tahun dan ke atas serta tiada saman tertunggak layak untuk memohon program peralihan kepada lesen B penuh.

"Oleh yang demikian, orang ramai perlu menyemak semula kelayakan tersebut melalui aplikasi MyJPJ atau di kaunter JPJ," ujarnya.

Aedy berkata, sehingga kini, seramai 3.32 juta pemegang lesen B1 dan B2 layak menyertai program khas LMM.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan pemegang lesen B1 dan B2 adalah sebanyak 9.31 juta orang.

JPJ buru kenderaan perdagangan bermasalah

Sementara itu, Aedy berkata, dalam tempoh tiga hari, sebanyak 8,701 notis dikeluarkan JPJ menerusi Operasi Khas Kenderaan Perdagangan yang dilaksanakan di seluruh negara bersama beberapa agensi kerajaan lain bermula 1 hingga 31 Oktober ini.

Beliau berkata, jumlah notis yang dikenakan itu adalah susulan pemeriksaan ke atas 32,178 kenderaan.

"Fokus utama operasi adalah melakukan pemeriksaan dan tindakan tegas ke atas pemandu atau pemilik kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

"Operasi ini juga bertujuan bagi mengesan kesalahan dilakukan kenderaan perdagangan terutamanya yang melebihi muatan susulan kes-kes kemalangan maut membabitkan lori," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Aedy berkata, dalam tempoh tiga hari itu, pihak JPJ telah menjalankan pemeriksaan terhadap 12,282 kenderaan barangan, perkhidmatan awam (1,274) dan lain-lain kenderaan (18,622).

Jelasnya, kesalahan paling banyak direkodkan berkaitan notis JPJ (P) 22 atau teknikal sebanyak 6,430, tindakan arah periksa Seksyen 61 (1) (990 notis) dan arah timbang Seksyen 63(3) bagi kenderaan melebihi muatan (339 notis).

"Sebanyak 4,233 kenderaan telah diambil tindakan, manakala 16 buah lagi kenderaan disita," katanya.

Menurut Aedy, operasi khas tersebut dijalankan dengan kerjasama PDRM dan Agensi Anti Dadah Kebangasaan (AADK).

Kata beliau, seramai 38 pemandu telah disaring dan didapati tujuh daripada mereka positif dadah.

"Pihak JPJ ingin menegaskan kepada semua pemandu kenderaan perdagangan supaya sentiasa bertanggungjawab mematuhi semua peraturan-peraturan ditetapkan.

"Kita ingin memaklumkan bahawa JPJ akan sentiasa memantau bukan sahaja di jalan utama malah di jalan persekutuan dan hari ini dilakukan di jalan kecil iaitu Jalan Bangi Lama yang sebelum ini tiada operasi pernah dilakukan di sini," ujarnya.