PERKESO serah faedah pengurusan jenazah kepada waris Ustaz Safri

Iklan
Tiga dari kiri; Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Karangkraf, Hashim Anang, Ismail dan Rusamiah ketika penyerahan baucar Faedah Pengurusan Mayat PERKESO di kediaman waris Allahyarham Ustaz Safri pada Jumaat.

KLANG - [DIKEMAS KINI] Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyerahkan baucar Faedah Pengurusan Jenazah bernilai RM3,000 kepada waris Ketua Penyelidik, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Ustaz Safri Muhammad Zein.

Pengarah PERKESO Selangor, Ismail Abi Hashim berkata, berdasarkan hasil semakan pihaknya mendapati waris layak menerima sumbangan berkenaan termasuk Faedah Pencen Penakat secara berkala.

Iklan
Iklan

"Serahan baucar ini merupakan tanda sokongan kami kepada keluarga, setidak-tidaknya keluarga tahu masih ada bantuan yang diberikan kerajaan melalui PERKESO.

"Selepas mengetahui berita mengenai pemergian arwah di media sosial, pihak kami menerusi Skuad Prihatin terus melakukan semakan mengikut kelayakan penerima," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, masyarakat perlu menyedari kepentingan dan keperluan untuk melakukan caruman PERKESO tidak kira sama ada bekerja sendiri atau bersama majikan.

Ujarnya, bagi individu yang bekerja sendiri boleh melakukan caruman menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Iklan

"Termasuk suri rumah, kami galakkan 100 peratus wanita di Malaysia untuk mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) sebagai perlindungan tambahan.

"Pada masa sama, jika berlaku sebarang kematian atau ditimpa musibah, waris atau keluarga terdekat perlu lakukan semakan segera di PERKESO bagi melihat kelayakan untuk menerima bantuan.

"Tindakan itu membolehkan sumbangan dapat disegerakan dan meringankan beban keluarga dalam urusan berkaitan rumah tangga, kalau kematian kita akan segerakan bantuan pengurusan jenazah," jelasnya.

Sementara itu, isteri Allahyarham, Rusamiah Ismail, 51, menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak terlibat seperti PERKESO dan Kumpulan Karangkraf atas tindakan serta sumbangan yang diberikan.

Allahyarham Ustaz Safri meninggal dunia pada 23 September lepas akibat penyakit kencing manis.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga anak masing-masing dua lelaki dan seorang perempuan iaitu Muhammad Aliff Al Ghazali, 20, Ahmad Deedath Al Hamzani, 18, dan Aisyah Nur Kasih, 15.

Beliau sebelum ini bertanggungjawab ke atas kajian My #QuranTime 1.0 dan 2.0 yang disiarkan di tiga stesen televisyen sejak tahun 2020 dan mengajar kelas bahasa Arab dan al-Quran di Kumpulan Karangkraf sejak 2014.

WUIF merupakan inisiatif di bawah Kumpulan Karangkraf yang dibangunkan bagi menerapkan semangat cinta al-Quran sekali gus menggalakkan lebih ramai penglibatan masyarakat dalam menghayati surah kitab suci tersebut.