Tahanan mati dalam lokap IPD Pekan diklasifikasi SDR

Iklan
Azri

KUALA LUMPUR - Polis mengklasifikasi kematian seorang tahanan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan sebagai mati mengejut selepas laporan bedah siasat mendapati punca kematiannya adalah gantung diri.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, lelaki berusia 25 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Hospital Pekan kira-kira jam 3.10 pagi, 4 Mei lalu.

Iklan
Iklan

Katanya, bedah siasat telah dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan pada 4 Mei.

"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah gantung diri dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Iklan

"Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman akan meneruskan siasatan daripada pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kes itu telah dirujuk ke Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) dalam tempoh 24 jam pada 4 Mei selaras dengan kehendak Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (Akta 839).

Iklan

Sebelum ini, pada 1 Mei lalu kira-kira jam 6.30 petang, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Pekan telah menahan lelaki terbabit dipercayai menunggang motosikal curi.

Azri berkata, kes itu telah disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas ujian saringan air kencing mendapati lelaki berkenaan positif morfin.

"Orang kena tahan (OKT) itu kemudian telah direman selama tiga hari bermula 2 hingga 4 Mei di lokap IPD Pekan," ujarnya.