Pensyarah rugi RM170,000 terpedaya pelaburan tidak wujud

Iklan
Seorang pensyarah kerugian RM170,000 selepas terpedaya dengan pelaburan tidak wujud. Gambar hiasan - Foto 123RF

BATU PAHAT - Seorang pensyarah di sebuah institusi pendidikan tinggi awam berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM170,000 lesap selepas terlibat dalam pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Shahrulannuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, pada 8 Jun 2022, mangsa telah bertemu dengan individu yang mendakwa mewakili syarikat Kenaf Trading Global Sdn Bhd yang menawarkan penanaman pokok kenaf.

Iklan
Iklan

Katanya, mangsa dimaklumkan akan menerima dividen tiga peratus sebulan dan mangsa yang tertarik dengan tawaran tersebut telah menandatangani beberapa dokumen perjanjian.

"Pada tarikh sama, mangsa telah membuat pindahan wang ke akaun bank satu syarikat secara berperingkat berjumlah RM200,000.

Iklan

"Mangsa kemudian menerima pulangan sebanyak RM30,000 beberapa bulan kemudian, namun mulai Januari 2023 sehingga kini tiada sebarang keuntungan yang diperoleh oleh mangsa.

"Mangsa kemudiannya menyedari telah ditipu dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat,” katanya.

Iklan

Shahrulannuar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda.