Mangsa banjir Rantau Panjang dibekal 30 rakit kecemasan

Iklan
Penduduk yang hadir untuk menerima rakit sumbangan CREST.

RANTAU PANJANG - Penduduk di empat kampung di Rantau Panjang di sini dibekalkan 30 rakit kecemasan bernilai RM75,000 bagi persediaan menghadapi banjir Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

Rakit dengan kos RM2,500 setiap satu itu disumbangkan oleh badan bukan kerajaan, Crisis Relief Services and Training (CREST) melalui Disaster Relief Network (KDRN).

Iklan
Iklan

Setiausaha KDRN, Lua Kheng Luan berkata, pemberian rakit dilaksanakan menerusi Program Pengurangan Risiko Bencana melibatkan sembilan unit di Tersang dan masing-masing tujuh di Serongga, Kusar Dalam dan Teluk Bakong.

Penyerahan rakit kepada penduduk, Rozi Daud (tiga dari kiri) di Tersang, Rantau Panjang.

Menurutnya, rakit tersebut bagi kegunaan lebih 2,000 penduduk untuk menempatkan barangan elektrik ketika banjir sekali gus dapat mengurangkan kerugian ketika bencana.

Iklan

"Rakit bersaiz 13.38 meter persegi ini dibina menggunakan 12 tong air berkapasiti 120 liter setiap satu.

"Setiap rakit dikongsi empat hingga ke enam keluarga bagi meletakkan perkakas elektrik sepeti peti sejuk dan televisyen ketika banjir,” katanya ketika ditemui pada Program Serahan Rakit kepada Penduduk di Kampung Tersang di sini, pada Jumaat.

Iklan
Kerja-kerja pembinaan rakit yang disertai penduduk di Tersang, Rantau Panjang.

Menurut beliau, pembinaan rakit itu turut mendapat kerjasama penduduk yang bergotong-royong dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kelantan.

"Setiap rakit dapat menampung berat sehingga lebih dua tan dan akan diikat di tiang-tiang rumah atau pokok bagi menggelakkan hanyut,” katanya.

Sementara itu, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Mukim Lobok Gong, Mohamad Arifin Ismail, 62, berkata, keseluruhan penduduk yang terkesan banjir di Tersang berjumlah lebih 10,000 dan mengalami kerugian setiap tahun.

"Kami amat mengalu-alukan pihak yang bermurah hati menderma rakit untuk kegunaan penduduk.

"Penduduk di sini masih memerlukan 300 rakit lagi bagi persediaan menghadapi banjir,” katanya.