Hajiji harus kekal sebagai KM Sabah dengan sokongan GRS, PH, UMNO - Zulkarnain

Iklan
Zulkarnain

KOTA KINABALU - Aktivis politik di negeri ini berpandangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Seri Hajiji Noor harus mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Menteri Sabah selepas memenangi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) nanti.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, ada suara nakal pihak yang bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mahukan jawatan tersebut, namun gabungan yang diketuai Hajiji lebih layak kerana majoriti kerusi juga masih dipegang mereka.

Iklan
Iklan

"Kita konsisten dengan kenyataan sebelum ini, kita menginginkan UMNO dapat bekerjasama dengan GRS dan Pakatan Harapan (PH) kerana kerajaan yang ada sekarang pun gabungan daripada ketiga-tiga ini yang mana Timbalan Ketua Menteri (Datuk Ir Shahelmey Yahya) sebenarnya masih ahli UMNO.

"Jadi itu saranan kami supaya tiga parti ini dapat membentuk gabungan, cuma ada suara-suara nakal dalam kalangan ahli-ahli PH yang mahu supaya wakil mereka dilantik menjadi Ketua Menteri.

Iklan

"Itu kita harus sepakat sebab kalau dilihat pada majoriti kerusi pun masih dipegang lagi oleh GRS. Saya fikir GRS selayaknya dan Ketua Menteri itu mesti datang daripada GRS itu sendiri," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Beliau yang juga penganalisis politik di Sabah berkata, tiada keperluan kesemua pihak bergaduh kerana apa yang harus diberi tumpuan adalah pembangunan negeri ini.

Iklan

"Pandangan kami selari dengan pandangan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Saya ingat inisiatif Anwar dan Hajiji adalah supaya ketiga-tiga parti ini dapat bergabung. Kita kena lihat masa depan rakyat Sabah. Mahu atau tidak, kita kena buang ke tepi kepentingan peribadi untuk jadi Ketua Menteri.

"Shafie (Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) kena buang egonya, Bung Mokhtar (Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin) kena buang egonya sebab mereka harus melihat Sabah ini betul-betul jauh ketinggalan.

"Buat apa kita mahu bergaduh lagi dalam politik, kita jauh ketinggalan. Kita nampak Sarawak mereka bersatu padu, jadi timbul persoalan kenapa kita tidak berdiri dengan sendirinya," katanya.

Zulkarnain sebelum ini menyatakan saranan beliau supaya UMNO dan GRS bekerjasama bagi menghadapi PRN17 memandangkan di peringkat Persekutuan, UMNO dan PH bersama-sama membentuk kerajaan Perpaduan dan ia turut disokong GRS di Sabah.