Juruteknik jatuh di lereng Gunung Machincang bukan pekerja kereta kabel

Iklan
Laporan Sinar Harian

ALOR SETAR - Panorama Langkawi Sdn Bhd (PLSB) menjelaskan juruteknik yang terjatuh daripada besi penahan platform kaca pada ketinggian 40 meter di lereng Gunung Machincang, semalam bukan pekerja atau kontraktor syarikat itu.

Justeru PLSB berkata, laporan media yang memetik bahawa individu terbabit sebagai pekerja kereta kabel yang terjatuh daripada kereta kabel adalah tidak benar.

Iklan
Iklan

PLSB yang merupakan operator kereta kabel Langkawi atau Langkawi SkyCab, menjelaskan perkhidmatannya beroperasi seperti biasa pada hari kejadian dan tiada kerja-kerja penyelenggaraan dijadualkan pada waktu tersebut.

"Selain itu ingin ditegaskan bahawa setiap kerja-kerja penyelenggaraan di Langkawi SkyCab mematuhi prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.

Iklan

"Sebagai contoh sekiranya kerja-kerja perlu dilakukan di tempat tinggi, kakitangan perlu mendapat latihan dan mempunyai sijil bekerja di tempat tinggi beserta dengan peralatan perlindungan diri (PPE) yang lengkap,” kata syarikat itu.

PLSB berkata, pihaknya turut bersimpati dengan kejadian tersebut dan menawarkan kerjasama serta bantuan yang sewajarnya.

Iklan

Semalam seorang juruteknik maut selepas terjatuh dari ketinggian kira-kira 40 meter di lereng Gunung Machinchang di Langkawi dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari.

Khairul Nizam Jaafar, 41, dilaporkan terjatuh ketika berada di besi penahan dek kaca di sebuah tarikan pelancongan lain yang dikendalikan oleh sebuah syarikat lain. - Bernama