Khutbah Jumaat di Selangor ingatkan umat Islam jauhi GISBH

Iklan
Khutbah Jumaat di seluruh masjid negeri Selangor terus mengingatkan umat Islam supaya berhati-hati dan dilarang berpegang serta beramal dengan ajaran GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).Gambar hiasan.

SHAH ALAM - Khutbah Jumaat di seluruh masjid negeri Selangor terus mengingatkan umat Islam supaya berhati-hati dan dilarang berpegang serta beramal dengan ajaran GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Berdasarkan teks khutbah bertajuk 'Betulkan akidah pengikut GISBH' mimbar mengingatkan, fahaman pengikut kumpulan itu yang telah menyimpang daripada akidah dan mengelirukan umat Islam.

Iklan
Iklan

Menurut teks khutbah itu, umat Islam diingatkan mematuhi setiap ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan fatwa yang telah ditetapkan.

"Taatilah Ketua Agama Islam Negeri yang beramal dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Iklan

"Tinggalkanlah ajaran dan fahaman al-Arqam dan mana-mana ajaran lain yang mempunyai persamaan dengan al-Arqam," tulis khutbah itu.

Khutbah itu memaklumkan, fahaman dan ajaran antara GISBH dan al-Arqam merupakan sebuah kumpulan ajaran yang ditubuhkan oleh Ashaari Muhammad pada tahun 1968 itu masih sama dan diikuti pengikut kumpulan terbabit.

Iklan

Jelas khutbah itu, pengaruh Ashaari yang meninggal dunia pada 2010 masih kuat dan terus dihormati dalam kumpulan itu walaupun selepas pengharamannya.

Tambah khutbah itu, kes GISBH mencerminkan bagaimana sebuah organisasi pernah diharamkan kerana ajaran sesat boleh meneruskan pengaruhnya dalam masyarakat melalui perniagaan dan aktiviti sosial.

"Walaupun ia tidak lagi secara terang-terangan menyebarkan ajaran sama, pengaruh dan nilai-nilai yang diasaskan oleh al-Arqam masih dilihat dalam operasi dan struktur organisasi ini," jelas khutbah berkenaan.

Khutbah itu memaklumkan, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berkenan fatwa mengharamkan fahaman dan ajaran pertubuhan al-Arqam

Jelas khutbah itu, pengharaman segala fahaman dan ajarannya telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor melalui fatwa yang diwartakan pada 4 Februari 1993, 11 Ogos 1994 dan 21 Disember 2006.

"Terkini fatwa yang telah diperkenan oleh Sultan Selangor pada 3 Oktober lalu yang sedang dalam proses pewartaan.

"Apabila fatwa ini diwartakan maka ia telah mengikat dan menjadi kewajipan kita setiap orang Islam yang berada dalam negeri Selangor untuk mematuhi dan berpegang dengan fatwa ini.

Mana-mana fatwa yang diingkari atau dihina boleh diambil tindakan undang-undang bagi memelihara Islam dan membendung ajaran sesat yang bermaharajalela," ujar khutbah itu.

Khutbah Jumaat Negeri Sembilan: Menjauhi keterlaluan dalam agama

Sementara itu di NEGERI SEMBILAN, khutbah Jumaat di seluruh negeri itu hari ini mengingatkan umat Islam tentang menjauhi keterlaluan dalam beragama.

Khutbah itu menjelaskan sikap melampau dalam kepercayaan dan pegangan berlaku apabila seseorang menjadi taasub dan fanatik secara membuta tuli terhadap sesuatu ajaran atau individu.

Katanya, sikap ini melahirkan keyakinan bahawa hanya mereka yang benar manakala pihak lain dianggap salah, sesat, batil atau kufur.

"Akibatnya, muncul dakwaan seperti"hanya kami pendukung sunnah dan keturunan Nabi SAW," atau"hanya kami yang akan masuk syurga," serta pelbagai lagi kenyataan yang seumpamanya.

"Antara faktor yang mencetuskan sikap ini antaranya kejahilan terhadap autoriti dalam penentuan hukum-hakam syarak, tidak berpegang pada sumber-sumber yang sahih menafsirkan nas syarak dengan kaedah yang tidak diiktiraf dan mengejar kepentingan peribadi," kata petikan khutbah berkenaan.

Menurut khutbah itu lagi, pelampau atau ekstremis sering kali meresapi masyarakat awam dengan mudah, kadangkala amat sukar untuk mengenali ciri-ciri seseorang yang telah terpengaruh dengan fahaman ini.

"Antara ciri golongan pelampau termasuklah bertindak balas dengan cepat, tergesa-gesa, mudah terpengaruh dengan emosi, sering kali mempercayai apa yang didengar tanpa sebarang kajian serta cenderung untuk mengikuti arahan tanpa menyelidiknya," katanya.

Katanya, sesungguhnya keselamatan dan keharmonian nasional merupakan dua asas utama yang menyokong kestabilan sesebuah negara.

"Sehubungan itu, kerajaan telah memperkenalkan Pelan Tindakan Malaysia bagi Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan (MyPCVE).

"Pelan ini berfungsi sebagai panduan strategik utama untuk menyelaras peranan, strategi, dan inisiatif pelbagai sektor - termasuk kerajaan, sektor swasta, media massa, pendidikan, serta pelbagai kelompok masyarakat," katanya.

Dalam akhir khutbah berkenaan, khatib turut berpesan supaya umat Islam mengamalkan ilmu yang sahih dengan merujuk al-Quran dan hadis serta pandangan ulama yang berautoriti.

"Kita juga wajar menghormati perbezaan pendapat untuk mengekalkan persaudaraan. Islam mengiktiraf kepelbagaian pandangan misalnya dalam isu fiqah.

"Oleh itu hargailah kepelbagaian ini tanpa memaksakan pandangan sendiri terhadap orang lain. Bersikap terbuka dan toleran terhadap perbezaan terutamanya dalam perkara yang tidak melibatkan asas akidah adalah penting demi mengekalkan keharmonian dalam kalangan masyarakat," katanya.