IPOH - Kerajaan Perak menafikan wujud pilih kasih dalam pemberian projek kerajaan membabitkan kontraktor Kelas F di negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pemberian projek-projek khususnya daripada Jabatan Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Pejabat Pembangunan Negeri dibuat secara tender terbuka.
Menurutnya, tidak timbul soal latar belakang kontraktor itu dari parti politik mana dalam pemberian projek itu kerana ia dibuat secara undian.
"Sebagai Menteri Besar saya tidak tahu mana (syarikat kontraktor) pembangkang, mana kerajaan. Setahu saya di peringkat daerah, projek-projek ini diundi, projek ini datang dari ICU yang bernilai RM100,000, ada RM50,000 tapi diundi.
"Masa undi itu tak ada pula dicop pembangkang atau kerajaan. Siapa juga yang masuk tender diundi. Itu nasib masing-masing lah," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Expo Hartanah Malaysia (MAPEX) Perak 2024 di Ipoh Parade di sini pada Jumaat.
Justeru, Saarani menegaskan dakwaan itu sekali gus tidak berasas sama sekali.
Pada 29 September lalu, Sinar Harian melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin menggesa kerajaan negeri tidak pilih kasih dalam memberi peluang kepada kontraktor Kelas F di negeri ini untuk mendapatkan sebarang projek.
Menurutnya, latar belakang politik seseorang usahawan atau kontraktor tidak seharusnya menjadi alasan untuk mereka diberikan peluang.
Perkara tersebut disuarakan susulan beberapa rungutan diterima daripada usahawan khususnya kontraktor kelas F yang mendakwa mereka tidak mendapat peluang sewajarnya daripada kerajaan negeri.