Abang Adik wakili Malaysia di Anugerah Akademi ke-97

Iklan
Filem yang menyaksikan gandingan pertama kali Jack Tan dari Malaysia dan Kang Ren Wu dari Taiwan itu sudah meraih pelbagai anugerah baik dalam mahupun luar negara.

KEJAYAAN demi kejayaan yang diraih filem Abang Adik melayakkan naskhah arahan Jin Ong itu secara rasminya dipilih mewakili Malaysia bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa pada Anugerah Akademi ke-97 pada Mac 2025.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dalam satu kenyataan memaklumkan pemilihan itu merupakan hasil beberapa siri penilaian Jawatankuasa Pemilihan Filem (JKPF) Finas yang terdiri daripada barisan profesional dalam bidang perfileman dan pematuhan syarat-syarat penyertaan yang ditetapkan oleh pihak penganjur Anugerah Akademi.

Iklan
Iklan

"Filem terbitan More Entertainments Sdn Bhd itu merangkul 19 anugerah antarabangsa – satu pencapaian yang membuktikan filem Malaysia mampu bersaing dan menyerlah di peringkat global.

"Abang Adik turut mencatatkan kejayaan luar biasa di China dengan kutipan pawagam mencecah RM2.2 juta setakat 30 September 2024, selepas mula ditayangkan bermula 21 September 2024.

Iklan

"Diharap perkembangan positif dalam penghasilan filem tempatan bernilai tinggi dapat diteruskan bagi memperkukuh industri perfileman negara di arena antarabangsa," ujar kenyataan itu.

Filem yang menyaksikan gandingan pertama kali Jack Tan dari Malaysia dan Kang Ren Wu dari Taiwan pernah meraih anugerah Filem Terbaik di Festival Filem Asia New York (Uncaged Competition ke-22) dan merangkul Golden Mulberry, Black Dragon Critics’ Award, serta White Mulberry Award untuk Filem Cereka Terbaik di Far East Film Festival ke-25, Udine, Itali.

Iklan

Tidak ketinggalan, pengiktirafan di Festival Filem Antarabangsa Fribourg ke-37, Switzerland dan Festival Filem First di China.

Di peringkat tempatan, filem ini telah mencatatkan kemenangan di Malaysia Global Golden Awards (MGGA) 2024 dengan meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Abang Adik mencipta fenomena pada 2023 dengan kutipan pecah panggung sebanyak RM14.6 juta di Taiwan dan RM1.55 juta di Hong Kong, menjadikannya filem Malaysia pertama yang mencatatkan rekod tayangan tertinggi.

Tayangan di Malaysia pada Disember 2023 turut mencatatkan kutipan sebanyak RM5.7 juta, membuktikan sambutan yang memberangsangkan daripada penonton tempatan.