Air hitam hanyutkan sampah haram masuk kebun penduduk

Iklan
Jefri membuat hantaran video di 'reels' Facebook mengenai kejadian ban Lembangan Sungai Buloh, Ijok yang pecah pada Jumaat. Gambar kanan: Keadaan ban pecah mengakibatkan air berwarna hitam membawa kotoran sampah melimpah ke kebun penduduk di Ijok.

KUALA SELANGOR - Ban di Lembangan Sungai Buloh, Ijok di sini pecah mengakibatkan air berwarna hitam membawa kotoran sampah melimpah ke kebun penduduk pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Perkara itu didedahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Jefri Mejan menerusi hantaran video 'Reels' di Facebook.

Jefri berkata, timbunan sampah itu dihanyutkan air deras daripada ban pecah di lembangan sungai berdekatan.

Ban di Lembangan Sungai Buloh, Ijok pecah mengakibatkan air berwarna hitam membawa kotoran sampah melimpah ke kebun penduduk pada Jumaat.

Iklan

"Inilah kesan sampah haram yang saya laporkan tempoh hari, semua (kotoran) masuk ke kampung Ijok melalui ban pecah ini.

"Air (limpahan ban) yang masuk ini membawa sampah menjadikannya berwarna hitam dan berbau busuk," katanya.

Iklan

Beliau memberitahu, pihak berkuasa digesa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang membuang sampah haram di kawasan lembangan sungai terbabit.

"Warga Ijok mesti bersedia dan berwaspada dengan sebarang kemungkinan.

"Jangan sesekali bermain air banjir kerana ia busuk dan kotor hasil daripada tempat pembuangan sampah haram," tegas beliau.

Dalam hantaran berbeza, Jefri berkata, beliau telah mengadakan perbincangan bersama pihak berwajib bagi menghalang arus deras melimpah memasuki kampung berhampiran.

Ujar beliau, selagi ban rebak itu tidak dibaik pulih, ia tidak dapat menyelesaikan masalah meskipun telah memasang pam di kawasan lembangan sungai terbabit.

"Saya akan pastikan air yang masuk ke kampung dapat dikawal, barulah kami akan pantau pam-pam yang dipasang untuk beroperasi semula," tambah beliau.

Sinar Harian pada 22 Ogos lalu melaporkan, kira-kira 2,000 penduduk di tiga kampung dan kawasan perumahan di sini menderita bau busuk dan asap berikutan kewujudan tapak sampah haram di tanah persendirian berhampiran lembangan Sungai Buloh, Ijok di sini sejak lebih dua tahun lalu.

Tiga kampung berhampiran kawasan tapak sampah haram yang terjejas itu ialah Kampung Harmoni, Batu 7 dan Batu 8.