Masjid Az-Zahrawi HKL adakan solat Jumaat pertama

Iklan
Jemaah yang hadir pada solat Jumaat pertama di Masjid Az-Zahrawi.

KUALA LUMPUR - Masjid Az-Zahrawi Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang menelan kos RM15 juta mengadakan solat Jumaat pertama hari ini.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dalam satu kenyataan memaklumkan, masjid tiga tingkat itu mampu menampung 3,000 jemaah pada satu masa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pembinaan masjid itu bertujuan menampung bilangan jemaah yang ramai khususnya ketika solat Jumaat.

"Sebelum ini, para jemaah hanya bergantung kepada surau Madrasah Islamiah yang berusia lebih 28 tahun bagi melaksanakan kegiatan keagamaan.

Iklan

"Antara golongan yang dijangkakan menerima manfaat dari pembinaan masjid tersebut adalah warga kerja HKL dan Hospital Tunku Azizah (HTA), waris dan ahli keluarga pesakit, institusi berhampiran seperti Institut Penyelidikan Perubatan dan Kampus UKM Cawangan Kuala Lumpur, Pusat Darah Negara dan penduduk sekitar," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Majlis Pengisytiharan Diri Solat Jumaat Pertama Masjid Az-Zahrawi HKL disempurnakan Mohd Na'im pada Jumaat.

Majlis Pengisytiharan Diri Solat Jumaat Pertama Masjid Az-Zahrawi HKL disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar di sini.

Iklan

Katanya, Masjid Az-Zahrawi HKL dibina di atas sebahagian tanah iaitu Lot 25 Jalan Dr Latif, Seksyen 42, Mukim Bandar Kuala Lumpur berkeluasan hampir 16,000 kaki persegi.

Ujarnya, senibinanya diilhamkan dari reka bentuk Islam moden dihiasi dengan perincian corak geometri Islam pada dinding, bukaan tingkap dan dinding mihrab.

"Rupa bentuk bongkah bangunan moden yang tegap dan berlapis menyerupai bentuk bongkah klasik era 60-an bangunan HKL mengelilingi bangunan masjid ini.

"Warna merah hati dipilih sebagai warna tingkap dan dinding kaca bahagian dalam untuk mencerminkan keunikan bangunan masjid yang menjadi sebahagian Kompleks HKL yang turut berfungsi sebagai lokasi rehat dan santai bagi pengunjung HKL.

"Lantai ruang solat utama masjid dihubungkan dengan ruangan terbuka setinggi tiga tingkat yang mencecah ke bahagian atas ruang bumbung," katanya.

Tambahnya, ruangan terbuka di hadapan mihrab pula diterangi limpahan cahaya matahari yang bersinar melalui bumbung kaca berbentuk kubah tajam.

"Binaan menara masjid yang ikonik pula menjadi mercu tanda dilengkapi dengan kilauan hilal dan papan tanda yang dapat dilihat dari jauh sepanjang Jalan Raja Abdullah, Kampung Bharu.

"Masjid ini dilengkapi dua bilik pengurusan jenazah, kuaters pegawai masjid, tempat wuduk lelaki dan perempuan yang selesa, kemudahan lif, bilik seminar, laluan khas dan tandas bagi Orang Kurang Upaya (OKU) dan pejabat pengurusan masjid," katanya.

Sehingga kini terdapat 94 buah masjid, 147 surau Jumaat, dan 647 buah surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.