Melaka rayu percepat projek atasi hakisan Pantai Puteri

Iklan
Rais (tengah) bersama sebahagian penerima sumbangan majlis penyampaian Bantuan Sekali Beri Institusi Pengajian Tinggi (IPT) peringkat Parlimen Tangga Batu, di Dewan Paya Rumput Perdana, di sini, pada Jumaat.

MELAKA - Kerajaan negeri merayu kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) agar mempercepatkan kerja-kerja pengawalan hakisan pantai di Pantai Puteri, Tanjung Kling, di sini, yang semakin teruk.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, sebelum ini PETRA telah meluluskan peruntukan lebih RM20 juta di kawasan tumpuan pelancong itu agar keadaan hakisan pantai tidak bertambah buruk.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sekiranya dibiarkan berterusan keadaan itu akan bertambah kronik sekali gus bakal merencatkan pendapatan terutama penjaja dan peniaga berlesen di sepanjang kawasan berkenaan.

"Dimaklumkan proses tender akan dibuka pada tahun ini.

Iklan

"Bagaimanapun projek itu dijangka mula tahun depan dan kerana itu kita harap ia dapat disegerakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian Bantuan Sekali Beri Institusi Pengajian Tinggi (IPT) peringkat Parlimen Tangga Batu, di Dewan Paya Rumput Perdana, di sini, pada Jumaat.

Iklan

Hadir sama Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), Abdul Aziz Baba.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata, pihaknya akan mengadakan sesi libat urus bersama peniaga berlesen di kawasan itu sebelum mereka dipindahkan berniaga di lokasi sementara.

"Peniaga-peniaga perlu memastikan tempat mereka berniaga adalah di kawasan yang selamat bagi mengelakkan risiko kejadian yang tidak diingini," katanya lagi

Pada program itu, seramai 152 penerima dalam Parlimen menerima sumbangan sekali beri oleh kerajaan negeri melalui TAPEM.

Sumbangan itu membabitkan bantuan RM400 kepada pelajar yang menyambung pengajian di peringkat diploma dan RM600 bagi peringkat ijazah ke atas dalam tempoh enam bulan dari tarikh pendaftaran ke universiti.