Mangsa banjir di Kedah meningkat sedikit, Selangor dan Perak menurun

Iklan
Mangsa banjir, Muhammad Salleh Majid, 33, (kiri) bersama ahli keluarganya bergotong-royong membersihkan rumah mereka selepas dilanda banjir kilat ketika tinjauan di Taman Saujana Aman, pada Jumaat. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Situasi semasa banjir di Selangor dan Perak semakin pulih dengan jumlah mangsa banjir di kedua-dua negeri berkenaan menunjukkan penurunan manakala di Kedah meningkat sedikit petang ini.

Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir yang berlindung di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) termasuk satu PPS yang baharu dibuka pada petang ini mencatatkan penurunan kepada 1,241 mangsa daripada 309 keluarga berbanding 1,968 mangsa pagi tadi.

Iklan
Iklan

Menurut portal InfoBencanaJKM, tujuh PPS berkenaan bagi menempatkan mangsa banjir dari tiga daerah iaitu Shah Alam, Gombak dan Kuala Selangor.

PPS itu ialah Dewan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Seri Kundang, Balai Raya Kampung Melayu Sri Kundang, Dewan Masyarakat Kampung Gombak, Kuang; Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Aman, Dewan Kenanga Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seri Pagi, Paya Jaras dan Dewan MBSA Bunga Matahari.

Iklan

Di PERAK, jumlah mangsa banjir yang direkodkan petang ini menurun kepada 99 orang daripada 22 keluarga di dua PPS di Kerian berbanding 200 mangsa daripada 67 keluarga pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri menerusi kenyataan turut memaklumkan

Iklan

dua PPS iaitu Masjid Al-Wusta Batu 8, Jalan Trong dan PPS Masjid Nurul Hidayah, Kampung Sungai Bembam, Kuala Trong di Taiping ditutup pada 10.30 pagi tadi.

Menurut kenyataan itu, jumlah mangsa banjir di PPS SK Changkat Lobak di daerah Kerian kekal seramai 39 orang daripada 11 keluarga.

Bagaimanapun, mangsa banjir di PPS SK Matang Gelugor, Matang di Taiping bertambah kepada 60 orang daripada 17 keluarga berbanding 50 mangsa daripada 14 keluarga pagi tadi.

Di KEDAH, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 214 orang daripada 67 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 199 orang daripada 66 keluarga pagi tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah, Mejar (PA) Mohd Suhaimi Mohd Zain berkata kesemua mangsa dari daerah Baling itu ditempatkan di tujuh PPS.

PPS yang dibuka ialah SK Siong, SK Seri Bayu, SK Tanjung Pari, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Parit Panjang, Dewan Kampung Banggol Deram, Surau Kampung Lahar dan Surau Albarakah Tembak B.

Kesemua mangsa dari empat mukim itu melibatkan Kampung Charuk Bakap, Kampung Parit Panjang, Kampung Tembak B, Kampung Baru, Kampung Pokok Setol, Kampung Depan Sekolah, Kampung Siput, Kampung Batu 60, Kampung Tanjung Pari, Kampung Simpang 3 Sik Jalan Weng, Kampung Banggol Deram, Kampung Bukit Sebelah dan Kampung Lahar.

Menurut laman web Public Infobanjir JPS, Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR, Kota Setar berada melebihi paras bahaya iaitu dua meter(m) manakala Sungai Ketil di Kuala Pegang, Baling; Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya dan Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Kota Setar melebihi paras amaran. - Bernama