Masalah tempat letak kereta, hujan punca karnival lengang

Iklan
Peniaga mendakwa mengalami kerugian apabila karnival tidak ramai pengunjung.

SHAH ALAM - Masalah tempat letak kereta dan hujan lebat yang berlaku menyebabkan Karnival Jejak Seni Budaya Malaysia Madani di ibu kota pada akhir September lalu tidak dipenuhi pengunjung.

Menurut penganjur karnival itu yang hanya ingin dikenali sebagai Zalie, pihaknya sudah membuat promosi di media sosial sejak Julai lalu untuk menarik kehadiran pengunjung.

Iklan
Iklan

"Kekurangan tempat letak kereta juga menyebabkan pengunjung tidak dapat hadir, tetapi aktiviti-aktiviti dilaksanakan mengikut tentatif.

"Tiada isu pun sebenarnya sebab perkara ini boleh dibincang secara profesional bukannya dengan cara demonstrasi dan provokasi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Iklan

Tambah Zalie, sebagai penyelesaian, pihak penganjur menawarkan sewaan tapak secara percuma untuk karnival akan datang sebagai pampasan kepada peniaga terlibat.

Peniaga berkumpul untuk berbincang mengenai karnival yang kurang mendapat sambutan.

Bagaimanapun katanya, tawaran tersebut ditolak oleh peniaga berkenaan.

Iklan

"Kami sudah lakukan yang terbaik untuk menjayakan karnival ini,” ujarnya.

Baru-baru ini, seramai 80 peniaga di karnival tersebut mengeluh selepas mengalami kerugian apabila jumlah kehadiran pengunjung tidak seperti dijanjikan pihak penganjur.

Peniaga yang mahu dikenali sebagai Ahmad berkata, hanya kira-kira 1,000 pengunjung yang hadir sepanjang tiga hari karnival tersebut berbanding 15,000 orang yang diuar-uarkan.

”Pada Jumaat suasana lengang tanpa kehadiran ramai pengunjung dan kami fikir mungkin kerana hari orang masih bekerja.

”Bagaimanapun menjelang Sabtu, situasi di lokasi karnival tetap sama walaupun berlangsung perasmian oleh menteri," katanya.

Tambah Ahmad, ada peniaga mengeluarkan modal hampir RM30,000 untuk jualan tiga hari karnival tersebut namun hanya mendapat pulangan kurang RM100 sehari.

"Bayaran tapak saja dah RM1,100 untuk tiga hari, tapi pengunjung pula tidak ramai,” ujarnya.

Ahmad memaklumkan, pihak peniaga telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.