BOUSTEAD Properties Berhad (Boustead Properties) melancarkan sebuah aplikasi mudah alih, Aplikasi Super Mutiara X (Mutiara X) yang menggabungkan tawaran terbaik Mutiara Spaces dalam titik sentuh yang mudah.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Azizi Ismail berkata, ia direka dengan ganjaran eksklusif, keistimewaan tambahan dan pengalaman lancar merentasi gaya hidup, hartanah serta pengurusan ganjaran.
Menurutnya, aplikasi berkenaan memanfaatkan data besar untuk sasaran pengguna, pembangunan produk dan promosi silang.
"Ia juga menawarkan pelbagai ciri termasuk pengurusan mata ganjaran, dompet ganjaran, ganjaran membeli-belah, penginapan hotel dan maklumat terkini berkaitan kemajuan projek, pameran hartanah serta acara anjuran Boustead Properties.
Beliau berkata demikian semasa pelancaran Mutiara X di The Curve pada Khamis sekali gus meraikan ulang tahun ke-20 bagi kedua-dua Hotel dan Resort Royale Chulan serta pusat beli-belah itu.
Hadir sama selebriti Amber Chia, Izzue Islam dan Fikry Ibrahim bagi mempromosikan aplikasi berkenaan.
Tambah Khairul Azizi, Mutiara Spaces mensasarkan sekurang-kurangnya 5,000 pengguna aplikasi mudah alih itu menjelang awal tahun 2025.
Khairul Azizi memaklumkan bahawa Mutiara X akan meningkatkan kepuasan pelanggan dan memupuk kesetiaan jenama yang lebih tinggi.
"Sama ada mereka memperolehi tawaran eksklusif di sini, menikmati kadar istimewa di Royale Chulan Hotels & Resorts atau memanfaatkan tawaran unik Koleksi Mutiara Boustead Properties.
"Ia termasuk Mutiara Damansara, Mutiara Rini, Mutiara Hills atau One Cochrane Residence, jadi Mutiara X ini membawa nilai yang tiada tandingan kepada pelanggan kami,” tambahnya.