PETALING JAYA - Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) manakala Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengisi jawatan Timbalan Presiden, selepas masing-masing menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti itu bagi 2024-2027.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu, Saiful Adli Arshad dalam sidang media pada Jumaat.
Selain itu, beliau berkata, Datuk Mas Ermieyati Samsudin turut menang tanpa bertanding jawatan Ketua Srikandi selepas penyandangnya, Datuk Seri Rina Mohd Harun menarik diri.
Turut menang tanpa saingan Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi bagi jawatan Naib Ketua Srikandi.
Beliau berkata, bagi jawatan Ketua Armada, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Hilman Idham akan bersaing dengan penyandang Pengerusi Tetap Armada yang juga Pengarah Pilihan Raya Pemuda Perikatan Nasional (PN), Akmal Zahin Zainal Zahir.
Beliau berkata, menerima 276 borang pencalonan pada hari penyerahan borang 21 September lepas bagi pemilihan di peringkat nasional untuk jawatan di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Jawatankuasa Srikandi, Jawatankuasa Armada, Jawatankuasa Srikandi Muda dan Jawatankuasa Sayap Bersekutu.
Sementara itu, Ahmad Faizal dalam sidang media sama berkata, bagi jawatan Presiden, Timbalan Presiden serta Naib-naib Presiden, MPT telah membuat ketetapan bahawa ahli yang pernah memegang jawatan MPT atau Ketua Bahagian selama sepenggal lengkap dibenarkan bertanding bagi mengisi jawatan tertinggi itu.
"Begitu juga dengan pertandingan untuk mengisi jawatan MPT, iaitu syarat tempoh kelayakan ditetapkan mestilah merupakan ahli parti selama dua tahun.
Ahmad Faizal berkata, persidangan sayap-sayap Bersatu peringkat Bahagian akan berlangsung pada 12 dan 26 Oktober, sebelum diakhiri dengan Persidangan Bahagian-bahagian Bersatu pada 2 November.
Beliau berkata, persidangan semua peringkat bahagian pada tahun ini akan melibatkan agenda pemilihan Jawatankuasa Bahagian, Jawatankuasa Sayap Bahagian, Ahli MPT serta Sayap-sayap Peringkat Nasional. - Bernama