200 penduduk kampung buat solat hajat untuk Sabari

Iklan
Jemaah Masjid Mutmainnah di Kampung Kuala Pegang, Baling menunaikan solat hajat pada Jumaat untuk memohon agar jasad Sabari dapat ditemui dengan segera.

BALING - Seramai 200 jemaah Masjid Mutmainnah di Kampung Kuala Pegang di sini menunaikan solat hajat untuk memohon agar jasad Sabari Baharom, 62, dapat ditemui dengan segera.

Solat hajat tersebut turut disertai anak bongsu mangsa, Muhammad Amir Hakimi Sabari, 25, selepas solat Jumaat di masjid tersebut.

Iklan
Iklan

Hari ini genap sebulan kehilangan Sabari selepas dilaporkan hilang sejak 4 September lalu sebelum polis mengesahkan pesara Felcra itu dipercayai dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, Kampung Empa, Jalan Wang Tepus di Jitra oleh suspek yang menyamunnya.

Menurut Muhammad Amir Hakimi, mereka memohon kepada ALLAH agar jasad ayahnya ditemui segera selain dipermudahkan semua urusan sepanjang perbicaraan bagi mendapatkan keadilan buat ayahnya.

Muhammad Amir Hakimi

Iklan

"Saya mengucapkan terima kasih kepada kariah masjid yang bantu buat solat hajat ini termasuk imam dan seluruh kariah masjid, malah sebelum ini juga ada yang melakukan solat hajat dan bacaan Yasin buat ayah," katanya ditemui pemberita di Masjid Mutmainnah, Kampung Kuala Pegang, pada Jumaat.

Muhammad Amir Hakimi berkata, mereka sekeluarga terus meletakkan harapan agar jasad ayah mereka dapat ditemui biarpun operasi pencarian sudah ditamatkan.

Iklan

Ujarnya, mereka rindu dan sedih kerana kehilangan ayah dan ketua keluarga yang baik dan kehilangannya tiada galang ganti.

"Kami sentiasa berharap suatu hari nanti akan jumpa dia, harap mungkin ada orang jumpa jasad ayah supaya ada pusara untuk dia.

"Buat sementara, saya dan kakak mungkin akan pergi ke sungai itu semula jika ada kelapangan kerana itu kenangan terakhir dia," katanya lagi.

Sementara itu, Imam Masjid Mutmainnah, Saidin Husin, 56, berkata, masjid tersebut akan terus mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin untuk memohon kepada ALLAH SWT supaya jasad Sabari ditemui dengan segera.

Saidin

Jelasnya, kehilangan Sabari turut dirasai oleh jemaah masjid tersebut kerana dia merupakan antara jemaah yang sentiasa hadir pada setiap waktu solat.

"Sabari memang ahli jemaah masjid ini, dia memang orang yang rajin ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah malah boleh dikatakan setiap waktu dia datang solat jemaah di masjid.

"Dia orang yang baik, mudah mesra dan pemurah," kata beliau.

Dalam pada itu, Saidin memberitahu, bagi urusan solat jenazah ghaib pula, beliau perlu mendapatkan pandangan dan kebenaran pejabat agama dan Mufti Kedah terlebih dahulu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan wajah suspek yang dicam oleh Sabari ketika disamun menjadi motif pembunuhan pesara Felcra itu pada awal September lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, hasil soal siasat terhadap dua suspek berusia 26 dan 38 tahun itu mengaku mengikat tangan dan menutup mulut Sabari dengan pita pelekat sebelum dicampakkan ke dalam Sungai Padang Terap di Kampung Empa, Derang di Kubang Pasu pada 4 September lalu bagi melupuskan bukti.