Kren terbalik hempap dua rumah, kereta: Rundingan ganti rugi dilaksana

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Khamis.

Iklan
Iklan

GEORGE TOWN - Penang Infrastructure Corporation (PIC) mengesahkan kejadian kemalangan melibatkan treler pemuat yang membawa kren berantai di Cangkat Delima 2 di sini petang semalam ketika menjalankan kerja projek jalan pintasan dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Air Itam bagi pakej 2.

PIC dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan, kejadian pada jam 3.15 petang itu telah menyebabkan kerosakan kepada dua rumah dan sebuah kereta di kawasan berkenaan, namun tiada sebarang kemalangan jiwa.

Iklan

"Sebuah treler pemuat dalam proses untuk membawa dan menghantar kren berantai yang akan digunakan untuk kerja-kerja pembinaan di kawasan berkenaan.

"Setelah pemuat tiba di kawasan kejadian, ia diparkir sementara untuk tujuan menurunkan kren itu.

Iklan

"Namun malangnya, pemuat berkenaan telah berundur dengan sendirinya dan melanggar tembok rumah penduduk berhampiran sebelum kren berantai di atasnya turut terjatuh serta menghempap kereta yang diparkir di tepi jalan di situ," kata kenyataan itu.

PIC memaklumkan pihak kontraktor telah mengambil tindakan drastik dengan mengawal lalu lintas dan menutup kawasan itu bagi mengelakkan kesesakan jalan serta memastikan keselamatan penduduk.

Mengikut kenyataan itu, siasatan awal mendapati kejadian berlaku disebabkan masalah teknikal pada sambungan paip angin di antara kepala lori dengan pemuat berkenaan dan anggaran kerugian masih dalam taksiran, manakala kerja-kerja pembersihan dan pembaikan sedang giat berjalan.

PIC juga memaklumkan pemilik rumah serta kereta berkenaan telah ditemui dan rundingan ganti rugi akan dibuat dalam tempoh terdekat. - Bernama