Selangor fatwakan amalan GISBH sesat

Iklan
Buku berkaitan Abuya yang dirampas pihak berkuasa daripada pengikut GISBH baru-baru ini.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan fatwa terkini yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa negeri itu bahawa pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan rangkaiannya adalah menyeleweng daripada akidah Islam sebenar.

Selangor Royal Office dalam kenyataan di laman Facebook memaklumkan, ini kerana pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH diyakini masih mengamalkan Aurad Muhammadiah, atau Zikir Agung, dibawa oleh kumpulan Al-Arqam yang diputuskan menyeleweng daripada akidah Islam sebenar menurut Warta No. 54 yang disiarkan pada 4 Februari 1993.

Iklan
Iklan

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang juga Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir telah menyembah maklum hasil mesyuarat khas jawatankuasa berkenaan kepada Sultan Sharafuddin pada 30 September lepas di Istana Bukit Kayangan di sini.

"Apa-apa variasi, bentuk atau cabang mana-mana fahaman, ajaran, pegangan atau amalan baharu yang mempunyai persamaan dengan semua atau sebahagian daripada elemen-elemen fahaman, ajaran, pegangan atau amalan ini adalah disifatkan menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah,” katanya dipetik Bernama.

Muka depan Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

Menurut kenyataan itu, butiran lanjut mengenai fatwa terkini berkenaan akan dihurai oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Pada 20 September lepas, Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita dengan berita berkaitan siasatan pihak polis terhadap kegiatan jenayah oleh GISBH dan rangkaiannya dan menitahkan agar semua rumah amal serta sekolah Islam di bawah kawalan organisasi itu yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dengan kegiatan jenayah termasuk jenayah syariah, diarahkan tutup dengan segera selain tidak dibenarkan beroperasi di negeri itu.

Iklan

Ia sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan kanak-kanak yang terlibat terus dianiaya.

Sementara itu, khutbah Jumaat di seluruh masjid negeri Selangor hari ini mengingatkan umat Islam berhati-hati dan dilarang berpegang serta beramal dengan ajaran GISBH.

Khutbah bertajuk 'Betulkan Akidah Pengikut GISBH' itu memberitahu, fahaman pengikut kumpulan itu telah menyimpang daripada akidah Islam sebenar dan mengelirukan umat Islam.

Pada 20 September, Perlis menjadi negeri pertama memfatwakan kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, antara amalan yang menyeleweng adalah mengkultuskan pemimpin atau tokoh tertentu sehingga seakan-akan menyamakan mereka setaraf Nabi Muhammad SAW.

"Malah, mereka juga dilihat mengambil keberkatan secara melampau dari sisa tubuh badan pemimpin mereka.

"Mereka juga mengaitkan pemimpin yang dikultuskan dengan menggunakan nama Imam Mahdi, jelmaan Rasulullah, karamah wali, keberkatan dan seumpamanya."Mereka juga mempercayai pemimpin mereka yang sudah mati sebenarnya masih hidup dan masih dapat memberi panduan kepada mereka.

"Malah, mereka mewujudkan hukum syarak baharu untuk menjustifikasikan aktiviti mereka yang bercanggah dengan syarak berkait hukum-hakam solat, pernikahan dan muamalat,” kata Mohd Asri.

INFO

Di mana sesatnya Aurad Muhammadiah?

- Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah memfatwakan buku Aurad Muhamadiah Pegangan Darul Arqam sebagai menyeleweng.

- Aurad Muhamadiah ialah bacaan wirid atau amalan tertentu setiap kali selepas solat fardu yang mengandungi ayat-ayat al-Quran dan juga selawat. Ia dimulakan dengan bertawasul kepada Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda, pada sahabat dan kemudian kepada Abuya iaitu Ashaari Muhamad, dan kepada Syeikh Suhaimi, pengasas Aurad Muhammadiah.

- Aurad Muhamadiah kononnya diamalkan oleh Syeikh Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi yang kemudian dikenali sebagai Imam Mahdi al-Muntazar (yang ditunggu, walaupun Syeikh Suhaimi telah meninggal dunia) sebagaimana didakwa oleh Ashaari.

- Menurut Syeikh Suhaimi, oleh sebab ayat-ayat yang diamalkan semakin banyak dan terlalu berat untuk diamalkan dengan sempurna, maka beliau telah berdoa kepada ALLAH supaya ditunjukkan cara bagaimana untuk meringkaskan amalan-amalan tersebut.

- Kemudian Syeikh Suhaimi mendapat ‘alamat’ kononnya menyuruh dia masuk ke dalam Kaabah selepas tengah malam tertentu. Ketika dia masuk, tiba-tiba dia berjumpa dengan Rasulullah SAW dalam keadaan jaga (bukan mimpi) dan Rasulullah SAW telah mengajarkan kepadanya bacaan Aurad Muhamadiah itu serta cara-cara mengamalkannya.

- Aurad Muhamadiah itu kemudian kononnya telah diizinkan untuk ‘diturunkan’ kepada sesiapa sahaja yang hendak mengamalkannya, begitulah cerita Ashaari kepada anak-anak muridnya.

-Aurad Muhamadiah juga telah diijazahkan oleh Syeikh Suhaimi kepada Ashaari dalam keadaan jaga, walaupun Syeikh Suhaimi telah meninggal pada tahun 1925 dan Ashaari tidak sempat berjumpa dengan beliau dan hanya sempat berjumpa dengan anak murid Syeikh Suhaimi.

SUMBER: MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR