PUTRAJAYA - Yayasan ASEAN bersedia melatih 2,000 jurulatih utama dan 800,000 pelatih di seluruh rantau ini dalam tempoh 30 bulan menerusi inisiatif ASEAN Bersedia untuk Kecerdasan Buatan (AI Ready ASEAN).
Pengarah Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Dr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, inisiatif tersebut wajar dimanfaatkan dalam kalangan remaja, pelajar, belia dan guru bagi meningkatkan tahap literasi AI.
"Malaysia bukan sahaja mendapat peluang tetapi juga dapat memainkan peranan memandangkan negara ini berada di hadapan dari segi kesediaan AI," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
"Inisiatif ini juga diharap dapat jadi program pemula kepada negara selaras pemilihan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan," jelas Mohamed Maliki.
Tambah beliau, IYC bersedia bekerjasama menjayakan inisiatif itu dengan harapan Malaysia akan terus memainkan peranan penting memandangkan kedudukan negara yang terkehadapan dalam bidang AI.
Inisiatif yang dilancarkan di Jakarta, Indonesia, Rabu lalu dijangka memberi manfaat kepada 5.5 juta penduduk di rantau ini.
Program celik AI yang disokong geran tunai berjumlah AS$5 juta oleh Google itu akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh yayasan bagi meningkatkan kemahiran asas AI dalam kalangan penduduk ASEAN.