SHAH ALAM - Tular di media sosial TikTok yang memaparkan penutup simen di Jalan Masjid India terangkat berulang kali hingga mencetuskan kebimbangan orang awam dan pengunjung lokasi berkenaan.
Berdasarkan video berdurasi 25 saat dimuat naik oleh pengguna TikTok, Lakshmi Karthick pada Khamis, insiden itu terjadi di sekitar kawasan berlakunya tanah jerlus yang muncul secara tiba-tiba 23 Ogos lalu melibatkan pelancong warganegara India, Vijaya Laksmi Goli, 48 tahun.
Menerusi video berkenaan, kawasan jalan tersebut turut dipenuhi dengan gerai jualan dan beberapa orang awam yang singgah ketika hujan renyai.
Difahamkan, keadaan penutup simen terbuka dan tertutup berulang kali itu dipercayai akibat tekanan bawah tanah yang terlalu tinggi kerana umum mengetahui ia amat berat, malah mustahil untuk terangkat.
Majoriti warganet akui bimbang terhadap insiden tersebut kerana kemungkinan besar ia akan menghasilkan tanah jerlus atau lubang mendap yang baharu.
Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) Vijaya Laksmi yang hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter akibat tanah jerlus dihentikan serta-merta selepas sembilan hari kerana tiada sebarang penemuan dikesan.
DBKL kemudiannya memaklumkan, Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) ditutup sementara bagi memberi laluan kepada SAR mangsa lubang benam Jalan Masjid India dan pemeriksaan tanah sebelum ia dibuka kembali awal September lalu.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming pula memberitahu, insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India merupakan kes terpencil dan tidak sewajarnya menggambarkan negara ini, khususnya Kuala Lumpur kurang selamat untuk didiami.