GISBH: MUIP bantu pasangan ada 13 anak tiada tempat tinggal

Iklan
Asmadi

KUANTAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) mengesan satu pasangan yang mempunyai 13 anak tetapi tidak mempunyai tempat tinggal dan sumber pendapatan selepas tindakan tegas diambil pihak berkuasa terhadap GISBH.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, pihaknya kini berbincang untuk menentukan bentuk bantuan sesuai buat keluarga tersebut, selain memantau pergerakan keluarga tersebut bersama Jabatan Agama Islam Pahang.

Iklan
Iklan

"Sebagai permulaan, kita akan bantu dari sudut penginapan, keperluan bulanan dan (seterusnya) cuba membina semula ekonomi keluarga ini dalam tempoh enam bulan. Niat kita hanya untuk membantu keluar dari kesempitan.

"Kita berharap mereka ini dapat memulakan kehidupan baharu yang lebih baik, bebas daripada pengaruh pihak yang dilarang dan kita memantau mereka,” katanya.

Iklan

Asmadi turut menyatakan kesediaan MUIP untuk membantu ahli GISBH lain yang telah dibebaskan daripada siasatan pihak berkuasa bagi meringankan beban hidup mereka.

Jelasnya, ahli yang kehilangan sumber pendapatan layak menerima bantuan kewangan secara bulanan dan menerima bantuan sekali bayar.

Iklan

Beliau menambah, mereka akan berikan modal perniagaan dan bantuan peralatan kepada mereka yang pernah terlibat dalam perniagaan sebelum ini.

"Bagi keluarga besar, terutamanya ibu tunggal dengan tanggungan ramai, mereka layak menerima bantuan keperluan bulanan dan tempat tinggal.

"Namun, beberapa syarat perlu dipenuhi seperti mereka mesti bebas daripada dakwaan mahkamah berkaitan GISBH dan tidak lagi mempunyai kaitan dengan organisasi tersebut.

"Yang paling penting, mereka wajib mengikuti kelas pemulihan yang dianjurkan pihak berkuasa secara berterusan bagi memastikan mereka tidak kembali terlibat dengan GISBH,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, Asmadi memberitahu MUIP amat prihatin terhadap nasib bekas ahli GISBH yang menjadi mangsa keadaan.

"Masyarakat yang mengetahui mana-mana ahli GISBH yang hidup dalam kesempitan diminta menghubungi MUIP di setiap daerah,” katanya.