TFC, PDRM sama kuat

Iklan
Reaksi pemain TFC Nelon Bonilla (tengah) meraikan kejayaan setelah berjaya menjaringkan gol peribadi pertamanya semasa menentang pasukan PDRM FC pada aksi Liga Super Malaysia 2024/2025 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak malam ini. Foto Bernama

TERENGGANU FC (TFC) hanya berjaya memungut satu mata selepas terikat 1-1 dengan PDRM FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini malam Jumaat.

Penambahan mata tunggal itu menyaksikan Skuad Penyu tidak berganjak dari tangga ketiga carta apabila hanya mengumpul 17 mata manakala PDRM FC lega setelah melonjak ke tangga kelima berbekal 15 mata.

Iklan
Iklan

Babak pertama menyaksikan TFC lebih menguasai permainan melalui serangan pertama kapten tuan rumah Muhammad Safawi Rasid pada minit keenam yang berjaya mengejutkan PDRM FC, namun gagal disempurnakan.

TFC terus mencemaskan pasukan lawan namun nasib menyebelahi PDRM FC apabila pemain import Nelson Bonilla gagal menyempurnakan umpanan kemas pemain pertahanan Muhammad Azam Azmi Murad dari sebelah kanan pada minit ke-13.

Iklan

Tertekan dengan asakan, Bruno Junichi bangkit memandu pasukan pelawat untuk mengejutkan tuan rumah dengan sepakan kencangnya pada minit ke-19 namun gagal menggegar gawang yang dikawal Mohd Suhaimi Husin.

Terikat 0-0, pemain sayap TFC Muhammad Akhyar Abdul Rashid berusaha memberikan tekanan kepada PDRM FC melalui sepakan leretnya hasil paduan gerakan bersama Manuel Ott, namun tidak berjaya membolosi gawang.

Iklan

Bagaimanapun, usaha berterusan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil menerusi tolakan mudah Bonilla sekali gus meletakkan TFC di hadapan sebelum berakhirnya babak masa pertama.

Bersambung babak kedua, PDRM FC mula memperlihatkan taring apabila tandukan Chidi Osuchukwu pada minit ke-53 berjaya menyempurnakan sepakan sudut Kyaw Min Oo sekali gus menyamakan kedudukan 1-1.

TFC yang kini di bawah bimbingan pemangku ketua jurulatih Badrul Afzan Razali dilihat semakin agresif menyerang untuk menggandakan jaringan namun kecewa apabila percubaan berturut-turut Ott pada minit ke-67 dan ke-68 disusuli sepakan lencong Akhyar minit ke-73, gagal membuahkan hasil.

Serangan balas PDRM FC oleh Mahmoud Saleh yang membuat rembatan deras pada minit ke-75 hampir memberikan igauan kepada Skuad Penyu namun berhasil ditepis Suhaimi sekali gus menyaksikan permainan berakhir dengan kedudukan seri 1-1. - Bernama