BARU-baru ini, tular di media sosial memperlihatkan sekumpulan rakyat Palestin yang dibawa masuk ke negara ini untuk mendapatkan bantuan rawatan mengamuk di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL).
Berdasarkan petikan video tersebut, seorang wanita didakwa bertindak kasar dengan membaling selipar dan merosakkan harta benda premis berkenaan manakala sekumpulan rakyat Palestin yang lain mencetuskan kekecohan di hadapan balai pengawal.
Difahamkan, insiden terbabit berlaku kerana kecewa apabila mereka tidak dibenarkan sama sekali untuk menginap di luar WTKL.
Umum mengetahui, seramai 127 warga Palestin termasuk 41 pesakit yang cedera akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza selamat tiba di negara ini pada 16 Ogos lalu.
Mereka dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan bagi menjalani saringan dan penjagaan kesihatan sewajarnya manakala saudara-mara lain ditempatkan di hotel, namun pergerakan amat terhad atas faktor keselamatan.
Menurut Duta Palestin di Malaysia, Walid Abu Ali, beberapa pesakit sudah terlalu lama menginap di hospital sehinggakan tidak mempunyai peluang untuk keluar dan disebabkan mereka datang dari Gaza yang dilanda perang, ia menyumbang kepada tekanan emosi.
Beliau mengambil tanggungjawab untuk memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia di atas keterlanjuran individu yang mencetuskan kekecohan selain menyatakan bahawa perbuatan sedemikian bukan budaya, etika atau kepercayaan warga Palestin.
Malah, pihaknya sentiasa mengingatkan warga Palestin untuk menghormati Malaysia dan rakyatnya sebagai tuan rumah kerana tidak semua bertuah mendapatkan peluang sedemikian.
Tidak kurang juga sesetengah netizan menggesa kerajaan supaya menghantar pulang pelarian berkenaan ke negara mereka yang kini dilanda konflik peperangan.
Justeru, diharapkan perkara sebegini dapat diselesaikan secara teratur dan tidak mengundang persepsi negatif atau melukai hati rakyat Malaysia yang konsisten menyatakan pendirian menyokong pembebasan Palestin.
Tidak adil untuk menghukum keseluruhan bangsa Palestin hanya kerana kesalahan individu tertentu, namun golongan berkenaan diminta supaya tetap menjaga perilaku dan menghormati tuan rumah meskipun bukan berada di negara sendiri.
Bagaimanapun, insiden terbabit turut menjadi buah mulut orang ramai lebih-lebih lagi pengguna media sosial apabila segelintir daripadanya dilihat tidak sensitif membahas isu tersebut sambil bergurau ingin ‘menyokong semula’ produk boikot.
Dikhabarkan, ia sebagai satu respons untuk ‘mengajar’ rakyat Palestin supaya kekal menjaga adab dan tahu erti syukur.
Tidak dinafikan, keperluan ketika ini adalah rakyat Palestin wajib tahu menjaga adab di Malaysia yang terkenal dengan masyarakat berbilang kaum dan bersopan santun.
Tetapi, orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak terlalu mengecam kejadian berkenaan dan membuat kesimpulan berdasarkan video pendek itu semata-mata kerana mungkin benar mereka sudah penat ‘berkurung’ serta inginkan kebebasan walaupun sekejap.
Buat masa ini, mohon diberikan ruang dan mempertimbangkan aspek tekanan emosi dialami rakyat dari wilayah bergolak itu kerana mungkin masih menjalani proses adaptasi atau menyesuaikan diri dengan suasana baharu.
Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin juga meminta supaya tidak menghukum semua rakyat Palestin yang mencari perlindungan di negara ini berdasarkan tindakan segelintir daripada mereka.