Kenaikan ringgit beri manfaat kepada Malaysia - PM Anwar

Iklan
Anwar. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Ringgit belum mencapai nilai saksama walaupun mencatatkan peningkatan berbanding dolar AS baru-baru ini dan muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia Tenggara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Iklan
Iklan

"Ia masih berada di bawah nilai sebenar (walaupun) pada kadar RM4.10 (berbanding dolar AS). Orang ramai tahu bahawa ia pernah berada pada kadar RM3.80 tetapi lebih baik ia mengukuh secara berperingkat tanpa campur tangan.

"Biarkan kuasa pasaran menentukan. Ia akan mencerminkan keyakinan terhadap dasar kerajaan dan cara kami melaksanakan pembaharuan,” kata beliau kepada NCBC dalam satu temu bual.

Iklan

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, ringgit merosot kepada 4.2155/2240 berbanding dolar AS daripada 4.1230/1280 minggu lepas.

BMI Country Risk & Industry Research (BMI), unit Fitch Solutions, menyemak naik unjuran ringgit bagi akhir 2024 kepada RM4.00 berbanding dolar AS daripada RM4.55 sebelum ini, memaparkan prestasi cemerlang ringgit pada suku ketiga 2024.

Iklan

Sebahagian penganalisis lebih optimis dan mengunjurkan ringgit akan mencecah RM3.55 berbanding dolar AS.

Walaupun mengakui ringgit yang lebih kukuh boleh mewujudkan kebimbangan dalam kalangan pengeksport berdasarkan Malaysia merupakan negara yang berorientasikan eksport, Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata perkara itu tidak begitu membimbangkan berikutan mata wang tempatan masih berada di bawah nilai.

"Ya, ia akan mewujudkan kebimbangan dalam kalangan pengeksport (tetapi) tidak begitu ramai dan tidak terlalu serius kerana ia masih berada di bawah nilai.

"Bagaimanapun, ia telah memberikan banyak manfaat kerana kita adalah negara perdagangan dan banyak mengimport dari luar negara,” kata beliau ketika ditanya sama ada ringgit yang lebih kukuh atau lemah akan memberi kelebihan kepada Malaysia. -Bernama