HULU TERENGGANU - Seorang warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar ke kebun di Kampung Basung, di sini sejak Jumaat ditemukan meninggal dunia pada pagi Sabtu.
Mangsa, Musa Ahmad, 65, dijumpai terbaring di kawasan semak dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira jam 7.30 pagi dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Anaknya, Romisa Musa, 40 berkata, sebelum kejadian bapanya itu keluar untuk ke kawasan kebun yang terletak 1 kilometer dari rumah sekitar jam 8 pagi, namun tidak pulang ke rumah pada sebelah petang.
"Waktu ayah keluar rumah pagi Jumaat dia tidak beritahu kepada sesiapa pun, selepas dia masih tidak pulang ke rumah sebelah petang, ibu saya, Fatimah Ibrahim, 55 minta adik ipar dan ahli keluarga lain cari dia di kebun malangnya tidak jumpa.
"Kami buat laporan di Balai Polis Kuala Berang sekitar jam 9 malam sebelum meneruskan pencarian bersama pasukan penyelamat sehingga jam 12 tengah malam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Sabtu.
Menurut Romisa, jasad bapanya itu ditemukan oleh adik iparnya, Mohd Ridwan Shafie, 35 bersama penduduk kampung.
"Waktu jumpa tu kedudukan badan ayah berada di tengah-tengah laluan kabel dalam kawasan semak dipercayai menjadi tempat laluan gajah.
"Masa tu ayah sudah tidak sedarkan diri, badan kebiruan, lebam dan terdapat kesan darah pada hidung. Selain itu, terdapat juga kesan dipercayai tapak kaki gajah pada badan ayah," ujarnya.
Romisa yang merupakan anak sulung dari 10 beradik berkata, mayat bapanya telah dihantar ke Hospital Hulu Terengganu di sini untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitenden Zainul Mujahidin Mat Yudin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.
Katanya, pihaknya akan memaklumkan perkembangan siasatan berhubung kes tersebut.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya masih menunggu keputusan bedah siasat ke atas mangsa.
"Semua pihak diminta bersabar dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini serta menunggu keputusan bedah siasat yang sedang dijalankan," ujarnya.