Selangor anjur sesi libat urus pelaksanaan WTE

Iklan
Suee Lim (tengah) diiringi Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Raiz Radzuan (kiri) menyerahkan tong sampah kepada salah seorang penduduk semasa Program Rejuvenasi di Kampung Bagan Sungai Yu di sini pada Sabtu.

KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor akan mengadakan sesi libat urus bagi memberi penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan sisa jadi tenaga (WTE) di beberapa lokasi di negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Ng Suee Lim berkata, sesi pendengaran itu akan dilaksanakan secara bersasar dari semasa ke semasa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, terdapat sebahagian penduduk masih kurang faham mengenai pelaksanaan WTE hingga menimbulkan bantahan dan rungutan suara mengenainya.

"Mereka (penduduk) masih belum jelas mengenai perbezaan antara WTE, insinerator dan 'landfill', saya fikir ini perlu diberikan penjelasan lanjut," katanya ketika ditemui selepas Program Rejuvenasi di Kampung Bagan Sungai Yu di sini pada Sabtu.

Iklan

Suee Lim memberitahu, kerajaan negeri mempunyai pakar yang boleh memberikan penjelasan lanjut mengenainya.

Selain itu, katanya, terdapat juga data dan strategi berkaitan mengenai pelaksanaan WTE yang secara jelas bersifat lebih mesra alam.

Iklan

"Kita tidak mahu cakap kosong semata-mata kerana WTE ini dilengkapi teknologi penapisan dan kawalan pencemaran lebih maju bagi mengurangkan pelepasan rumah hijau dan bahan pencemar udara lain.

"Kita ada empat WTE akan dibina di negeri ini yang perlu melalui proses ketat dan mematuhi semua syarat ditetapkan oleh JAS (Jabatan Alam Sekitar)," kata beliau.

Sinar Harian pada Selasa lalu melaporkan, Jaringan Rawang Tolak Insinerator (RTI) kecewa dengan tindakan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang meluluskan penggunaan tanah atau pengezonan di Lot 3847 Batu Arang bagi projek insinerator.

Jurucakap RTI, Abdul Hanan Abd Mokti berkata, kelulusan itu seolah-olah MPS tidak mengambil serius terhadap 4,000 bantahan serta fakta saintifik dikemukakan sebelum ini.

Sebelum ini, penduduk di beberapa kawasan di negeri ini turut membantah pelaksanaan WTE yang dikhuatiri membahayakan aspek keselamatan dan kesihatan.

Dalam perkembangan berasingan mengenai kesiapsiagaan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor menghadapi banjir berikutan kekerapan musim hujan, Suee Lim berkata, perkara itu telah dibawa dalam Mesyuarat Pengurusan Banjir Negeri Selangor pada Khamis lalu.

"Semua agensi termasuk PBT sudah bersiap sedia terhadap sebarang kemungkinan terutama dalam keadaan cuaca tidak menentu termasuk kejadian banjir kilat dan sebagainya.

"Semua PPS (pusat pemindahan sementara) banjir juga siap sedia dibuka jika banjir melanda rumah penduduk.

"Kita juga telah mengarahkan kakitangan PBT supaya tidak mengambil cuti terlalu lama atau mereka boleh mengambil cuti secara bergilir bagi memastikan tahap kesiapsiagaan tinggi dan operasi bantuan dapat berjalan lancar," tambah beliau.