KUALA LUMPUR - Indah Water Konsortium (IWK) telah mengambil langkah pembaikan pada penutup simen yang dilapor terangkat berulang kali ketika hujan di Jalan Masjid India seperti tular di media sosial.
Unit Media Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan memaklumkan, penutup lurang yang hilang menyebabkan penutup simen di bahagian atasnya terangkat.
"Berkemungkinan kejadian itu berlaku disebabkan vandalisme.
"IWK telah selesai memasang penutup lurang tersebut awal pagi Sabtu," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Pada Jumaat, tular video berdurasi 25 saat memaparkan keadaan penutup simen tersebut terbuka dan tertutup berulang kali.
Difahamkan, ia dipercayai akibat tekanan bawah tanah yang terlalu tinggi.
Situasi tersebut mencetuskan kebimbangan orang awam dan pengunjung lokasi berkenaan yang pernah digemparkan dengan insiden tanah jerlus 23 Ogos lalu membabitkan seorang mangsa, Vijaya Laksmi Goli, 48 tahun yang sehingga kini masih belum ditemui.
Menurut kenyataan itu juga, DBKL berharap, tiada pihak mengambil kesempatan menimbulkan isu berkaitan kejadian di Jalan Masjid India.
"DBKL menggesa orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya menyiarkan kandungan yang boleh mencetuskan situasi panik dan kegelisahan orang awam
dengan mengambil kesempatan atas insiden yang berlaku di Masjid India baru-baru ini," katanya.