Banjir: Tiada penempatan khusus untuk kakitangan JKNK

Iklan
Dr Zaini (kiri) mendengar maklumat mengenai pencuci luka selepas merasmikan Seminar 'Burn Talk, Back to Basic: Rivitalizing Core Competencies in Burn Management' di sini pada Sabtu.

KOTA BHARU - Tiada penempatan khusus disediakan kepada kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) yang bertugas di kawasan banjir di negeri ini.

Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, bagaimanapun kesemua mereka akan ditempatkan di asrama atau klinik kesihatan di daerah yang ditugaskan jika berlaku banjir luar jangka.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, sehingga kini JKNK mengenal pasti sebanyak 98 klinik yang berisiko terjejas akibat bencana berkenaan.

"Mengikut pengalaman pada 2014, kita menyediakan hotel atau asrama berdekatan kepada pasukan kesihatan bagi memudahkan mereka bergerak ke lokasi banjir besar," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Burn Talk, Back to Basic: Rivitalizing Core Competencies in Burn Management di sini pada Sabtu.

Beliau memberitahu, pihaknya turut mengambil kira masalah kakitangan yang terjejas dan bekerjasama dengan jabatan kesihatan dari negeri lain.

Iklan

Dr Zaini menjelaskan, proses penempatan kakitangan akan diaturkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) KKM mengikut keperluan semasa.

"Ketika bah besar pada 2014, kita mendapat bantuan dari utara dan Selangor kerana kebetulan mereka tidak mengalami bencana itu," katanya.

Tambahnya, kesiapsiagaan pasukan perubatan juga bukan sahaja membabitkan kakitangan malah fasiliti perubatan.

"JKNK juga sudah menyenaraikan pesakit berisiko di kawasan banjir supaya pasukan kesihatan dapat bertindak dengan cepat," katanya.