Kebajikan arwah Khairul Nizam, keluarga tidak akan diabaikan - Majikan

Iklan
Eagle’s Nest Skywalk di Gunung Machinchang, Langkawi. Foto ihsan Langkawi SkyCab. Gambar kecil: Khairul Nizam

ALOR SETAR - Langkawi Skywalk Sdn Bhd tidak akan mengabaikan kebajikan Allahyarham Khairul Nizam Jaafar, 41, yang maut terjatuh ketika melakukan kerja penyelenggaraan Eagle’s Nest Skywalk di Langkawi pada Khamis lalu.

Syarikat tersebut yang merupakan pemilik kepada produk pelancongan di Gunung Machincang memaklumkan, mangsa merupakan kakitangan syarikat yang bertugas sebagai juruteknik elektrik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihak penguatkuasaan dan pegawai Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah datang serta melakukan penyiasatan terhadap kejadian tersebut dan mereka memberikan kerjasama menyeluruh bagi membantu siasatan.

"Pihak syarikat tidak akan mengabaikan kebajikan mangsa dan keluarga arwah, kami akan bantu mengikut saluran-saluran sedia ada.

Iklan

"Kawasan kemalangan bukanlah tempat kunjungan awam. Pihak kami ingin tegaskan bahawa kawasan lantai kaca untuk kunjungan awam atau pelawat berada dalam keadaan yang selamat dan tidak terjejas," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak syarikat mengikut prosedur operasi standard (SOP) keselamatan seperti yang telah ditetapkan dalam semua keadaan.

Iklan

"Untuk butiran hasil siasatan penuh, pihak kami serahkan kepada pihak berkuasa," ujarnya.

Pada Jumaat, media melaporkan Panorama Langkawi Sdn Bhd (PLSB) memaklumkan juruteknik yang terjatuh dari besi penahan platform kaca pada ketinggian 40 meter di lereng Gunung Machincang bukan pekerja atau kontraktor syarikat itu.

Justeru PLSB berkata, laporan media yang memetik bahawa individu terbabit sebagai pekerja kereta kabel yang terjatuh daripada kereta kabel adalah tidak benar.

PLSB yang merupakan operator kereta kabel Langkawi atau Langkawi SkyCab menjelaskan, perkhidmatannya beroperasi seperti biasa pada hari kejadian dan tiada kerja-kerja penyelenggaraan dijadualkan pada waktu tersebut.

Difahamkan, Khairul Nizam baharu sahaja bekerja di Eagle’s Nest Skywalk selama tiga bulan kerana mahu beralih angin selepas bertugas hampir 20 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Arwah yang meninggalkan seorang isteri, Zunirah Othman, 36, dan tiga anak berusia 10, 16 dan 17 tahun dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Rafeah Taman Uda di sini selepas selesai urusan bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah pada Jumaat.