SHAH ALAM- Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sedang melalui proses transformasi besar-besaran dengan matlamat untuk memacu pembangunan lapangan terbang bertaraf dunia di Malaysia.
Pengambilalihan MAHB oleh Konsortium GDA yang terdiri daripada Khazanah Nasional (Khazanah, melalui anak syarikat milik penuh iaitu UEM Group Bhd), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan Global Infrastructure Partners (GIP) adalah sebagai usaha untuk meningkatkan daya saing MAHB serta menghadapi cabaran global yang kian meningkat.
Melalui pengambilalihan ini juga, Khazanah/UEM dan KWSP muncul sebagai pemegang saham majoriti dalam MAHB.
Konsortium GDA dijangka merealisasikan aspirasi MAHB untuk meningkatkan nilai ekonomi lapangan terbang melalui pelbagai strategi pembangunan.
Ini termasuk memanfaatkan lokasi Malaysia untuk menjadikan KLIA sebagai hab antarabangsa terkemuka dan hab transit yang menarik dengan meningkatkan kesalinghubungan, membuka laluan penerbangan baharu, serta menawarkan lebih banyak pilihan syarikat penerbangan, sekali gus merancakkan sektor pelancongan.
Konsortium itu dijangka meningkatkan tahap perkhidmatan pelanggan dan kecekapan operasi serta memberikan kemudahan pemindahan pengetahuan teknikal yang berkesan kepada MAHB.
Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, Khazanah memahami kebimbangan yang timbul berhubung pengambilalihan itu.
"Namun adalah penting untuk kita mengambil pandangan jangka panjang mengenai lonjakan potensi dan melihat kepada manfaat yang akan diperolehi.
"Menerusi kerjasama strategik melalui GDA yang melibatkan pemegang saham kawalan iaitu Khazanah dan KWSP, serta rakan kongsi teknikal antarabangsa seperti ADIA dan GIP, kami yakin transformasi ini akan membawa lonjakan besar kepada sektor penerbangan dan meningkatkan ketersambungan untuk negara ke seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata, transformasi itu bukan sahaja akan memberikan kesan berganda kepada pembangunan ekonomi seperti yang dianggarkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
"Sektor penerbangan bukan sahaja dianggarkan memberi impak ekonomi sebanyak 3.25 kali ganda kepada sektor industri lain tetapi akan mewujudkan peluang pekerjaan domestik tambahan serta memacu pemindahan teknologi dan pengetahuan teknikal.
"Usaha ini dijangka meningkatkan kuantiti dan kualiti pelancong yang masuk ke negara kita serta berfungsi sebagai pemangkin dalam memperkukuhkan peranan Malaysia dalam rantaian bekalan global elektrik dan elektronik (E&E), terutamanya dalam sektor semikonduktor dan litar bersepadu (IC),” kata Amirul Feisal.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, penyertaan pelabur antarabangsa seperti ADIA dan GIP sebenarnya menggantikan pelabur jangka pendek yang ketika ini sudah berada pada paras 28 peratus dengan pelaburan dana yang lebih bersifat jangka panjang.
"Dalam urus niaga ini dari satu segi, akan memastikan lapangan terbang kita kembali berada di bawah kawalan pelabur Malaysia sebaik sahaja ia dinyahsenarai.
"Pegangan saham asing dalam MAHB di Bursa Malaysia pernah meningkat setinggi 45 peratus pada 2018. Tambahan pula, kepentingan Malaysia dilindungi dengan baik.
"Kerajaan akan mengekalkan pemilikan saham khas dan wakil mereka akan dilantik ke lembaga pengarah MAHB dan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif akan terus dilantik dari kalangan rakyat Malaysia,” katanya.
Menurutnya, tawaran pengambilalihan MAHB, Khazanah dan KWSP tidak akan menjual saham mereka dalam MAHB.
Sebaliknya, kedua-dua entiti ini akan meningkatkan pegangan mereka dengan membeli lebih banyak saham MAHB.
Pengambilalihan ini dijangka akan dilaksanakan sepenuhnya pada hujung tahun 2024.
Lapangan terbang Malaysia akan terus kekal dimiliki oleh kerajaan Malaysia, ia bertujuan untuk memastikan kepentingan nasional tetap terjaga sambil memajukan sektor penerbangan negara.
Perubahan yang akan dibawa oleh GDA
Datuk Amirul Feisal berkata, antara manfaat utama daripada cadangan pengambilalihan MAHB ini adalah peningkatan pengalaman penumpang.
Beliau berkata, ia termasuklah mengurangkan kesesakan lapangan terbang dan masa menunggu, serta memperbaiki mutu infrastruktur, kemudahan dan perkhidmatan.
"Dengan langkah-langkah ini, diharapkan pengalaman penumpang akan semakin baik dan memuaskan. Pelaburan yang bakal dilaksanakan akan membolehkan kita menaik taraf infrastruktur, meningkatkan pengalaman penumpang, serta memperluaskan kesalinghubungan udara yang sangat diperlukan.
"Ini tidak hanya akan memberikan faedah langsung kepada ekonomi negara, tetapi juga memastikan Malaysia kekal berdaya saing di rantau ini dan di peringkat global. Kami juga komited untuk memastikan lapangan terbang kita terus dimiliki dan dikendalikan dengan mengambil kira keselamatan dan kepentingan negara,” kata Amirul Feisal.
Beliau berkata, Konsortium GDA juga akan memberi fokus kepada peningkatan pengalaman penumpang dengan mempertingkatkan mutu perkhidmatan dan kecekapan operasi.
"Penambahbaikan dalam kawasan peruncitan, perkhidmatan makanan dan minuman (F&B), serta suasana lapangan terbang yang lebih selesa akan memaksimumkan kepuasan penumpang.
"Konsortium GDA akan mempercepatkan penyelesaian projek modal yang tertangguh, seperti sistem pengendalian bagasi (BHS) dan aerotren, sambil melabur dalam kapasiti masa hadapan melalui kerjasama dengan syarikat penerbangan untuk menyokong pertumbuhan penumpang jangka panjang.
"Pada masa yang sama, konsortium ini dijangka menyumbang kepada peningkatan tahap perkhidmatan pelanggan, kecekapan operasi dan pemindahan pengetahuan teknikal yang berterusan kepada MAHB,” katanya.
Datuk Amirul Feisal berkata, kesalinghubungan udara dapat diluaskan dengan memberikan peluang kepada MAHB untuk menarik syarikat penerbangan terkemuka baharu dan mempelbagaikan destinasi penerbangan.
"Ini termasuk peningkatan bilangan penerbangan jarak jauh di lapangan terbang negara kita yang kini kurang berbanding negara jiran seperti Thailand dan Singapura,” katanya.
Malaysia mengalu-alukan pengiktirafan buat KLIA baru-baru ini, sebagai hab Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCC) nombor satu dalam laporan OAG Megahubs 2024.
Pengiktirafan itu amat membanggakan dan menjadi bukti bahawa lapangan terbang di Malaysia mampu menjadi antara yang terbaik dan setaraf dengan lapanganlapangan terbang di negara-negara jiran, terutamanya apabila disokong oleh prestasi yang dipertingkatkan dan kecenderungan untuk menjadi lebih kompetitif.
Dengan sokongan daripada Khazanah, KWSP, ADIA dan GIP, pengambilalihan ini diharapkan akan membawa transformasi yang signifi kan kepada MAHB, meningkatkan daya saing dan prestasi lapangan terbang Malaysia, serta memberi manfaat besar kepada penumpang dan ekonomi negara secara keseluruhan.
Kepakaran teknikal GIP dan pemindahan pengetahuan kepada ekosistem tempatan
Pemilihan GIP sebagai rakan kongsi teknikal dalam pengambilalihan MAHB adalah berdasarkan beberapa faktor utama.
GIP memiliki rekod prestasi dalam pengurusan dan transformasi lapangan terbang di seluruh dunia. Sebagai contoh, mereka telah berjaya meningkatkan jumlah laluan di Edinburgh Airport, Scotland dari 141 kepada 225 dalam tempoh kirakira 10 tahun.
Di Gatwick Airport, London, mereka menggantikan tren terminal transit dalam hanya 10 bulan, sementara di Sydney Airport, Australia mereka berjaya mengurangkan masa berbaris dari 28 minit kepada 11 minit dalam tempoh 18 bulan.
Selain itu, GIP memiliki kedudukan kewangan yang kukuh, membolehkannya mendanai perbelanjaan modal yang diperlukan oleh MAHB.
Mereka bersedia memenuhi syarat sebagai pemegang saham minoriti dan akan melepaskan pegangan mereka selepas mencapai peningkatan nilai yang diinginkan.
MAHB dan kakitangannya juga akan mendapat manfaat daripada perkongsian serta pemindahan pengetahuan daripada pakar-pakar global yang akan meningkatkan kemahiran dan kecekapan ekosistem tempatan.
Pada masa yang sama, Ketua Bahagian Pengangkutan GIP dan Pengarah GDA, Phil Iley dalam satu jawapan bertulis kepada Bernama sebelumnya menegaskan bahawa BlackRock yang berpangkalan di Amerika Syarikat tidak sama sekali akan terlibat dalam sebarang transaksi berkaitan penstrukturan semula kepentingan dalam MAHB melalui GDA.
Pengurusan sedia ada GIP akan terus mengekalkan kawalan penuh dan bertanggungjawab terhadap hala tuju strategik dan operasi GIP serta syarikat-syarikat di bawah pelaburan mereka.
Cabaran yang dihadapi oleh lapangan terbang Malaysia
Cadangan pengambilalihan MAHB oleh GDA dijangka akan membawa beberapa manfaat utama terutamanya dalam pembaharuan infrastruktur lapangan terbang negara yang kini ketinggalan berbanding negara jiran dan juga dari aspek jumlah penerbangan jarak jauh.
Dalam tempoh lima tahun yang lalu, negara-negara jiran telah melabur jumlah yang jauh lebih besar dalam pembangunan lapangan terbang mereka."Sebagai contoh, Indonesia telah melabur sebanyak RM12 bilion dalam sektor ini manakala Thailand melabur RM6.6 bilion.
Sebaliknya, Malaysia hanya melabur RM1.4 bilion, jurang pelaburan yang ketara itu menonjolkan kekurangan dalam pengurusan dan peningkatan infrastruktur lapangan terbang Malaysia yang memerlukan perhatian serius.
Selain pelaburan, jumlah penerbangan jarak jauh juga menunjukkan perbezaan yang ketara antara Malaysia dan negara jiran. Thailand mempunyai 55 penerbangan jarak jauh manakala Singapura mengendalikan 40 penerbangan.
Sebagai perbandingan, Kuala Lumpur hanya mempunyai 22 penerbangan jarak jauh. Bilangan penerbangan jarak jauh negara kita yang lebih rendah menunjukkan bahawa lapangan terbang kita mungkin menghadapi cabaran dalam menarik syarikat penerbangan antarabangsa dan mempelbagaikan destinasi global.
Langkah ke hadapan
Peningkatan pelaburan dalam infrastruktur lapangan terbang Malaysia adalah penting untuk memastikan lapangan terbang negara ini dapat bersaing dengan baik di peringkat antarabangsa.
Pelaburan yang lebih besar dalam kemudahan, sistem pengurusan dan teknologi akan membantu mengurangkan kesesakan, memperbaiki pengalaman penumpang dan menarik banyak penerbangan serta syarikat penerbangan terkemuka.
Selain itu, peningkatan dalam jumlah penerbangan jarak jauh akan membantu memperluaskan kesalinghubungan udara Malaysia, menjadikannya lebih berdaya saing dan menarik bagi pelancong serta perniagaan antarabangsa.
Peningkatan jumlah penerbangan jarak jauh ini juga berpotensi untuk meningkatkan sektor pelancongan dan perdagangan sekali gus memberi manfaat besar kepada ekonomi negara. Untuk mengejar ketinggalan tersebut, Malaysia perlu mengambil langkah strategik untuk memperbaiki dan meningkatkan infrastruktur lapangan terbangnya.
Ini termasuk meningkatkan pelaburan, melaksanakan pembaharuan dalam sistem pengurusan lapangan terbang dan memperluaskan kesalinghubungan udara.
Dengan langkah-langkah ini, Malaysia boleh berusaha untuk berada pada tahap yang sama dengan negara lain dan memastikan lapangan terbangnya terus berfungsi sebagai pusat pengangkutan udara utama di rantau ini.