ATM tak kecil hati insiden kekecohan warga Palestin di WTKL

Iklan
Mohammad (tengah) pada sidang akhbar diadakan selepas sambutan Hari ATM ke - 91 di Kem Segenting.

PORT DICKSON - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berkecil hati dengan insiden kekecohan dilakukan rakyat Palestin yang ditempatkan di Wisma Transit, Kuala Lumpur (WTKL) seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman berkata, pihaknya memahami tekanan emosi yang dihadapi mereka dan menyifatkan isu berlaku sebagai kes terpencil.

Iklan
Iklan

"Kita tidak ambil hati kerana kita faham emosi mereka dalam keadaan tertekan.

"Tapi kita akan ambil langkah-langkah sesuai untuk atasi masalah ini," katanya pada sidang akhbar Sambutan Hari ATM Ke-91 Tahun 2024 di Kem Segenting, di sini pada Sabtu.

Iklan

Menurutnya, keutamaan pihaknya adalah untuk memastikan kesemua 127 rakyat Palestin termasuk 41 orang yang cedera ketika dibawa ke negara ini menerima rawatan terbaik.

Jelasnya, masih tinggal empat orang sahaja yang menerima rawatan di Hospital Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur.

Iklan

"Keutamaan kami adalah memastikan mereka mendapatkan rawatan terbaik sehingga pulih sepenuhnya, perancangan masa hadapan termasuklah penghantaran balik tertakluk kepada perbincangan lanjut dengan pihak terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai laporan dua wanita yang menimbulkan kekecohan tersebut akan dihantar pulang, beliau menyerahkan perkara itu kepada budi bicara pihak berkaitan.

Mohammad berkata, pihaknya juga masih menjalankan siasatan penuh berhubung isu berkenaan dan akan menanganinya dengan profesional serta penuh empati.

"Mereka menginap di hospital terlalu lama sehingga tidak mempunyai peluang untuk keluar dan disebabkan mereka datang dari Gaza yang dilanda peperangan ia menyumbang tekanan emosi mereka.

"Namun saya ingin maklumkan kita mengadakan program-program, aktiviti-aktiviti mereka ini untuk keluar tetapi dengan dikawal atas faktor keselamatan," katanya.

Jelas beliau, kesemua mereka tidak dibenarkan bermalam di luar atas faktor keselamatan dan pihaknya tidak mahu perkara tidak diingini berlaku ditambah pula mereka datang ke negara ini untuk mendapatkan rawatan.

Tambah Mohammad, pihaknya ada melakukan kordinasi dengan beberapa kementerian dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk melihat langkah seterusnya.

"Kemungkinan mereka akan diletakkan di Malaysia sehingga satu masa dan juga kemungkinan mereka akan dihantar ke negara ketiga atau dihantar pulang ke negara asal," katanya.