[VIDEO] Taman Sri Muda digempur

Iklan

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kawasan sekitar pusat perniagaan Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini yang didakwa dimonopoli warga asing digempur besar-besaran dalam operasi pada Sabtu.

Sebahagian warga asing yang diperiksa dalam operasi besar-besaran di kawasan pusat perniagaan Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini pada Sabtu.

Operasi dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pelbagai agensi itu bermula sekitar jam 12.30 tengah hari.

Iklan
Iklan

Serbuan dibuat menyasarkan premis perniagaan, pasar serta bahagian tingkat atas rumah kedai di sekitar lokasi terbabit yang dijadikan bilik sewa kepada warga asing.

Antara warga asing yang diperiksa dalam operasi besar-besaran di kawasan pusat perniagaan Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini pada Sabtu.

Sinar Harian yang mengikuti operasi ini mendapati bahagian tingkat atas rumah kedai ini dibahagikan kepada bilik-bilik kecil yang dipercayai memuatkan antara lima hingga tujuh warga asing.

Iklan

Kadar sewa serendah RM350 menjadikan bilik itu menjadi pilihan warga asing untuk menyewa walaupun dalam keadaan sempit serta ruang pengudaraan yang tidak sempurna.

Dalam operasi sama, ada warga asing didapati berdegil dengan mengunci pintu dari dalam ketika pemeriksaan dilakukan selain terdapat juga antara mereka yang bersembunyi di sebalik timbunan papan dan pakaian terpakai.

Iklan

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, aduan diterima daripada masyarakat awam berkaitan lambakan warga asing di kawasan ini.

Antara individu warga asing dikesan cuba menyembunyikan diri ketika pemeriksaan dijalankan pihak berkuasa.

Beliau berkata, operasi kemudiannya dijalankan susulan satu hasil keputusan melalui mesyuarat dijalankan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor yang turut disertai bersama pelbagai agensi penguatkuasaan.

"Saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri Selangor bersetuju dengan cadangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor supaya satu operasi bersepadu bagi membanteras PATI melibatkan agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan diselaraskan.

"Ia merupakan di bawah Jawatankuasa Perancang Gerakan Negeri Selangor (JPGN) yang dipengerusikan secara bersama oleh Panglima 11 Briged Infantri dan Ketua Polis Negeri," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas operasi bersepadu di Taman Sri Muda di sini pada Sabtu.

Katanya, operasi diselaraskan Jabatan Imigresen Malaysia ini disertai seramai 445 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi.

Anggota Imigresen memotong pintu pagar yang dikunci dari dalam ketika operasi dijalankan.

"Antara agensi terlibat adalah Jabatan Imigresen Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Selangor.

"Turut sama dalam operasi ini adalah Jabatan Pendaftaran Negara, Angkatan Pertahanan Awam dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)," katanya.

Menurutnya, seramai 1,091 individu terdiri daripada pelbagai negara diperiksa dalam operasi ini.

"Seramai 602 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) telah ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen daripada keseluruhan jumlah yang diperiksa.

"Kesemua mereka yang ditahan ini terdiri daripada 505 lelaki dan 97 wanita terdiri daripada negara Asia Tenggara serta Afrika berumur antara 19 hingga 53 tahun," katanya.

Amirudin berkata, kesemua tahanan akan ditempatkan di Depoh Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan susulan.

Pihak berkuasa memotong pintu pagar yang dipercayai dikunci warga asing untuk mengelakkan ditahan pihak berkuasa.

"Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, langgar syarat pas, tinggal lebih masa, pemegang kad yang tidak diiktiraf dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959," katanya.

Jelas beliau, operasi ini akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan isu berkaitan lambakan warga asing khususnya PATI ini dapat ditangani.

"Operasi akan dilaksanakan berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.

"Ia bagi memastikan tindakan diambil kepada mereka yang melanggar peruntukan seperti di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963; dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007," katanya.