Ban pecah: 625 mangsa dipindahkan ke SK Desa Aman

Iklan
Kawasan Ijok menghala Parit Mahang dilanda banjir. Gambar kecil: Mohd Raiz

KUALA SELANGOR - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS ) sedang membaik pulih ban pecah berdekatan Taman Saujana Aman di sini yang menyebabkan berlakunya banjir di kawasan terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir Daerah Kuala Selangor, Mohd Raiz Radzuan berkata, kerja-kerja membina benteng penahan ombak itu dilakukan pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, kerja pembinaan sementara ban pecah itu dilaksanakan bagi mengelakkan air dari Sungai Buloh melimpah akibat hujan lebat.

"Pada masa ini, kerja-kerja pembinaan benteng baru sepanjang 50 meter telah siap, manakala baki 100 meter lagi akan dilaksanakan dalam waktu terdekat," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Iklan

Mohd Raiz yang juga Pegawai Daerah Kuala Selangor memberitahu, pembinaan benteng itu dibuat bagi mengelakkan kejadian sama daripada berulang.

Menurut beliau, terdapat kerja-kerja pembinaan benteng pemecah ombak sebagai langkah jangka masa panjang pada masa akan datang.

Iklan

Jelas beliau, kejadian ban pecah menyebabkan satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Aman di sini pada Sabtu.

"Sehingga kini, seramai 625 mangsa daripada 155 keluarga ditempatkan di PPS itu berikutan kawasan kediaman dinaiki air," kata beliau.

Sementara itu, katanya, terdapat juga ban pecah dikesan berlaku di Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Batu 7, Ijok berhampiran tempat pembuangan sampah haram pada Jumaat.

Beliau memberitahu, kejadian ban pecah di kawasan itu mengalirkan air berwarna hitam dan berbau busuk akibat bercampur dengan timbunan sampah.

"Sebuah PPS dibuka pada semalam (Jumaat) di Sekolah Rendah Agama (SRA) Ijok menempatkan seramai 36 mangsa daripada 12 keluarga.

"Saya difahamkan mungkin sebuah PPS lagi dibuka di Dewan Rafulin Ijok menempatkan Pusat Jagaan Warga Tua Jashiera yang dilanda banjir.

"Pusat jagaan ini menempatkan seramai 53 warga emas dan lapan kakitangannya," kata beliau.