34 kapal TLDM 'sudah tua' perlu diganti - Mohammad

Iklan
Sebanyak 34 buah kapal TLDM telah melepasi had umur penggunaan termasuk 28 daripadanya berusia lebih 40 tahun. - Foto Facebook Tentera Laut Diraja Malaysia

PORT DICKSON - Sebanyak 34 buah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah melepasi had umur penggunaan termasuk 28 daripadanya berusia lebih 40 tahun.

Panglima Angkatan Tentera (ATM), Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Rahman berkata, adanya keperluan mendesak untuk menggantikan kapal-kapal berkenaan.

Iklan
Iklan

"Kini TLDM telah mengoperasikan sebanyak 53 buah kapal dari pelbagai kelas bagi memenuhi keperluan operasi serta rondaan di zon Maritim Malaysia.

"Sebahagian daripada kapal-kapal tersebut telah melebihi usia penggunaan yang optimum terhadap keupayaan, teknologi dan kos selenggaraan," katanya pada sidang akhbar selepas Sambutan Hari ATM Ke-91 Tahun 2024 di Kem Segenting di sini pada Sabtu.

Iklan

Menurutnya, had umur bagi kapal-kapal TLDM mengikut kelas adalah 35 tahun bagi kapal selam dan 30 tahun bagi kapal frigate, corvette, kapal logistik, kapal ronda generasi baharu dan hidro.

Tambahnya, bagi had umur kapal-kapal yang lebih kecil seperti kapal ronda laju, kapal peperangan periuk api, kapal layar dan bot tunda pula adalah 24 tahun.

Iklan

Selain itu, Mohammad berkata, ada keperluan kritikal untuk menggantikan helikopter tempur maritim yang mana ketika ini TLDM menggunakan helikopter Super Lynx yang fungsinya terhad.

"Pesawat itu juga telah beroperasi melebihi 20 tahun dan diunjurkan beroperasi secara terhad sehingga tahun 2026.

"Keperluan penggantian helikopter tempur maritim ini adalah kritikal dan kini TLDM sedang menilai beberapa pilihan helikopter yang sesuai bagi menggantikan helikopter Super Lynk," katanya.

Dalam perkembangan lain katanya, Tentera Darat Malaysia (TDM) akan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat berkaitan sekiranya masih gagal membuat penghantaran helikopter Black Hawk mengikut tarikh ditetapkan.

Ujarnya, segala kelewatan akan diambil tindakan sewajarnya oleh bahagian perolehan termasuk mengenakan denda lewat atau penamatan kontrak.

"Buat masa ini, TDM bersedia menerima helikopter sebagaimana tarikh dipersetujui di dalam surat lanjutan kedua yang telah dikeluarkan oleh bahagian perolehan iaitu sebelum atau pada 30 Oktober ini," katanya.