Penentu juara keseluruhan LTdL 2024 makin mendebarkan

Iklan
Malucelli muncul juara peringkat ketujuh dari Miri ke Bintulu. Foto LTdL

PERSAINGAN merebut Jersi Hijau yang juga gelaran juara keseluruhan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 semakin mendebarkan selepas berakhirnya perlumbaan peringkat ketujuh dari Miri ke Bintulu pada Sabtu.

Dalam perlumbaan sejauh 199.3 kilometer (km) itu, pelumba JCL UKYO, Matteo Malucelli muncul juara dengan catatan masa empat jam 18 minit dan tiga saat (s).

Iklan
Iklan

Tempat kedua dan ketiga milik dua pelumba pasukan Tudor Pro Cycling, Arvid de Kleijn dan Maikel Zulaard.

Bagaimanapun, pelumba pasukan dsm-firmenich PostNL, Max Poole masih mempertahankan Jersi Hijau selepas tujuh pusingan dengan mengumpul catatan masa 23:20:6 s dan hanya dibezakan 13 s dengan pelumba di kedudukan kedua dari JCL UKYO, Thomas Pesenti.

Iklan

Poole kurang menjadi pada peringkat ketujuh apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-51 sekali gus menyaksikan juara keseluruhan akan ditentukan pada peringkat kelapan dan terakhir mengelilingi Bintulu pada Ahad.

Dalam pada itu, Malucelli yang turut muncul juara pada peringkat kedua dari Arau ke Butterworth mengakui kemenangan tersebut menjadi motivasi berharga untuknya meneruskan peringkat terakhir pada Ahad.

Iklan

"Rakan sepasukan saya melakukan kerja yang baik. Selekoh terakhir saya berada di kedudukan yang baik dan berjaya menamatkan perlumbaan sebagai juara," katanya selepas perlumbaan.

Dalam pada itu, Poole percaya dia dan pasukanya mempunyai potensi untuk muncul juara keseluruhan dan sudah merancang strategi untuk mengharungi perlumbaan peringkat terakhir.

"Kami akan menggunakan pendekatan yang sama untuk perlumbaan peringkat terakhir esok,” katanya.

Dalam perebutan Jersi Jingga iaitu Raja Pecut, pelumba Tudor Pro Cycling Team, Arvid De Kleijn masih memegang gelaran tersebut dengan 66 mata disaingi rapat oleh Malucelli dengan 65 mata manakala Gleb Syritsa dari Astana Qazaqstan Team kedudukan ketiga dengan 48 mata.

Untuk Jersi Polka Dot pula, pelumba BH-Burgos, Mario Aparicio semakin hampir untuk membawa pulang gelaran Raja Bukit itu selepas mengumpul 27 mata diikuti Poole 22 mata dan Anthon Charmig dari Astana Qazaqstan Team (12 mata).

Jersi Putih iaitu pelumba terbaik Asia masih menjadi milik pelumba JCL UKYO, Manabu Ishibashi dan rakan sepasukannya, Yuma Koishi di kedudukan kedua.