Malaysia berhak adakan hubungan, berurusan dengan pelbagai pihak - PM

Iklan
Anwar ketika wawancara bersama CNBC

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan hak Malaysia untuk mengadakan hubungan dan berurusan dengan pelbagai rakan global, termasuk Rusia, sambil mengekalkan pendirian seimbang mengenai isu antarabangsa.

Beliau berkata, negara lain tidak seharusnya menentukan apa yang terbaik untuk negara lain, sambil menambah bahawa sebagai negara perdagangan, Malaysia mengalu-alukan pelaburan dari seluruh dunia.

Iklan
Iklan

Menjawab soalan mengenai hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS dan persepsi terhadap hubungan semakin erat dengan Rusia semasa satu wawancara bersama CNBC, Anwar berkata, beliau telah bertemu dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin di Vladivostok, Rusia, baru-baru ini memandangkan Rusia kini menjadi pengerusi organisasi antara kerajaan yang terdiri daripada 10 negara anggota.

"Saya pergi ke Vladivostok (Rusia) untuk menyampaikan minat kami untuk menjadi sebahagian daripada BRICS dan meneruskan perdagangan dan pelaburan dalam bidang yang tidak menjadi pertikaian. Saya tidak nampak sebarang sebab mengapa kami tidak patut berbuat demikian.

Iklan

"Malaysia adalah sebuah negara perdagangan dan kita mengalu-alukan pelaburan dari seluruh dunia. Saya tidak seharusnya mendiskriminasi mana-mana negara lain,” katanya.

Malaysia telah memohon untuk menyertai BRICS pada Julai 2024.

Iklan

Sokongan lantang Anwar terhadap Palestin dan kritikannya terhadap tindakan Israel di Gaza turut menjadi fokus dalam temu bual berkenaan.

Beliau mempersoalkan sikap berat sebelah masyarakat antarabangsa, dengan membandingkan sokongan ketara terhadap Ukraine dengan kekurangan tindakan tegas untuk menghentikan keganasan di Gaza.

"Mengapa kita bercakap mengenai demokrasi dan hak asasi manusia jika kita membiarkan kekejaman dan genosid berlaku setiap hari?” soal Anwar.

Beliau turut mengkritik sokongan kewangan yang diberikan kepada Ukraine oleh Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Eropah.

Katanya, walaupun kenyataan dibuat untuk menggesa penghentian serangan di Gaza, tiada usaha sebenar yang dilakukan.

"Saya perlu bersuara. Malah di Ukraine. Saya telah nyatakan dengan jelas bahawa saya tidak menyokong pencerobohan di Ukraine tetapi Ukraine menjadi isu besar di AS dan Eropah, namun di sini (Gaza) mereka membelanjakan berbilion untuk membunuh.

"Kepura-puraan ini perlu berakhir,” katanya. - Bernama